Projek lewat siap dan kegagalan mengutip denda kelewatan dari pemaju adalah antara kelemahan yang ditemui dalam Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Putrajaya meskipun projek itu diakui telah membantu penjawat awam yang berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah yang pada harga yang kurang daripada harga pasaran.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018, Siri 3, sasaran pembangunan sebanyak 8,980 rumah PPAM belum tercapai sepenuhnya setakat 30 April 2019 memandangkan dalam tempoh enam tahun sejak program itu dilancar pada 18 April 2013, sebanyak 4,447 rumah (49.5 peratus) sahaja yang berjaya disiapkan. (

Ia meliputi empat projek PPAM iaitu PPAM Selasih, PPAM Pudina, PPAM Larai dan PPAM Palma, dan satu daripadanya (Pudina) yang melibatkan 1,504 rumah lewat 278 hari untuk disiapkan manakala tiga projek lagi (2,943 rumah) siap dalam tempoh 36 bulan seperti ditetapkan.

Manakala enam projek masih dalam pembinaan dengan status kemajuan projek antara 11 hingga 99 peratus, dengan dua daripadanya iaitu Kasturi dan Saderi masih mengikut jadual asal kemajuan kerja, namun empat projek iaitu Melinjau, Jintan, Seruling dan Ketumbar telah diluluskan lanjutan masa antara 160 hingga 523 hari.

Namun sehingga 17 Sept 2019, PPAM Jintan dan Melinjau telah lewat siap antara 143 hingga 217 hari daripada tarikh akhir lanjutan masa diberikan.

Laporan itu juga mendapati pengurusan kontrak untuk menguatkuasakan pematuhan berkaitan denda kelewatan berjumlah RM3.3 juta tidak cekap kerana tidak dikutip daripada pemaju projek PPAM Pudina dan Jintan sehingga kini.

Semakan audit turut mendapati bahawa pelantikan pemaju bagi lima projek PPAM Putrajaya tidak dibuat secara telus dan teratur mengikut tatacara perolehan Permohonan Cadangan (RFP).

Hal ini kerana berdasarkan surat Perbadanan Putrajaya (PPj) kepada Ketua Setiausaha Negara bertarikh 25 Julai 2013 mendapati PPj terlebih dahulu telah mengesyorkan kepada KSN supaya lima pemaju yang telah ditawarkan Surat Niat oleh PPj itu dilantik terus menjadi rakan kongsi PPj dalam membangunkan PPAM di lima plot pemajuan.

Ia turut menyatakan pemilihan terus pemaju dibuat berdasarkan rasional bahawa kos projek pembangunan akan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju.

"PPj mengambil maklum dan akan menambah baik kaedah pelaksanaan projek mengikut tatacara teratur. PPj sebagai pelaksana program PPAM bertindak melaksanakan arahan daripada pihak kerajaan pada masa itu," menurut laporan itu.

Bon pelaksanaan bagi projek PPAM Pudina berjumlah RM10.82 juta didapati tidak dikemukakan oleh pemaju kepada PPj sehingga projek siap dan CCC (Sijil Siap dan Pematuhan) dikeluarkan.

"Kerja di tapak tidak boleh dimulakan sebelum Bon Pelaksanaan dikemukakan kepada pemaju... kegagalan mengutip Bon Pelaksanaan memberi risiko kepentingan kerajaan tidak dapat dilindungi sekiranya pemaju gagal memenuhi obligasi kontraknya," kata laporan itu.

-- BERNAMA