GEDONG: Usaha kerajaan negeri menerusi projek naik taraf bekalan air luar bandar memberikan kemanisan buat penduduk di Zon Pangkor, bahagian Samarahan selepas bekalan air bersih disalurkan di kawasan itu sejak semalam.

Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek naik taraf bekalan air bernilai RM45 juta itu meliputi Kampung Lubok Punggor, Lubak Buntin serta Tanjung Sap.

Jelas beliau, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) turut diarahkan membekalkan air terawat ke kampung sekitar Samarahan, Simunjan serta Gedong selepas mendapati kemudahan asas itu perlu diatasi segera.

“Dua tahun lepas saya telah mengarahkan supaya JBALB membuat kajian mengenai bekalan air di kawasan Samarahan dan di Simunjan dan ia juga termasuk kampung di persekitaran Lubok Punggor ini.

“Pihak JBALB menggunakan tangki air aras tinggi kerana tekanan air yang kuat diperlukan bagi menyalurkan bekalan air terawat dari Kuching ke kawasan Lubok Punggor.

“Air dari Kuching akan digunakan oleh penduduk di kampung Bangka Semong, Kampung lubok punggor, Lubok Buntin, Tanjung Sap dan Kampung Benat Hilir di Gedong, bahagian Samarahan, semua kampung ini mendapat bekalan air yang terawat selain daripada bekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Air Luar Bandar Kampung Lubok Punggor di Gedong, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata pelaksanaan projek tersebut telah berjalan sejak dua tahun lalu bagi menyalurkan bekalan air dengan menggunakan grid dari Kuching.

“Sungai sekarang ini sukar untuk dirawat jadi kita bekalkan bekalan air dari Kuching.

“Oleh itu, kita tingkatkan bekalan sumber di Kuching iaitu di Empangan Bengoh dan Sungai Sarawak kiri, di mana airnya terus dihantar ke kawasan Samarahan, Simunjan sehingga ke Sebuyau dengan satu grid,” ujarnya lagi.

Beliau pada masa yang sama berkata, kebanyakan kampung di kawasan luar bandar sekitar pesisir Sarawak meliputi Samarahan, Simunjan dan Sebuyau sudah menerima bekalan air bersih dan terawat yang stabil.