GEORGE TOWN: Projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dijangka dimulakan selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya sudah mengarahkan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) memulakan segera projek itu dengan tender terbuka perlu dilakukan dalam tempoh dua bulan.

Beliau berkata, projek pembesaran dan menaik taraf LTAPP itu akan menggunakan reka bentuk dan pelan sama seperti dalam kebenaran merancang yang diluluskan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 2019.

Jelasnya, projek tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh MAHB melibatkan kawasan sedia ada tanpa membabitkan pengambilan tanah seperti projek tambak baharu atau pengosongan kawasan sekolah.

"Dengan adanya pengumuman daripada Menteri Kewangan, maka saya telah mengarahkan MAHB percepatkan proses.

"Conceptual design sudah ada, kita akan lengkapkan semua dokumen dan akan panggil tender dalam masa terdekat.

"Perancangan kita, keseluruhan projek mesti bermula tahun ini; projek pembesaran ini mesti dimulakan tahun ini juga atau sebelum hujung tahun ini.

"Ia dijangka akan mengambil masa tiga ke empat tahun untuk siap secara berperingkat," kata Loke.

Beliau berkata, projek berkenaan sudah tertangguh selama dua tahun dan berharap apabila siap kelak, ia dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada penumpang.

Mengulas lanjut, beliau berkata projek pembesaran dan menaik taraf LTAPP amat diperlukan memandangkan lapangan terbang tersebut sudah mengendalikan kapasiti penumpang melebihi kemampuan iaitu 6.5 juta orang setahun.

Tambahnya pada 2019, iaitu sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia, LTAPP mengendalikan sehingga 8.33 juta penumpang.

Manakala selepas pembukaan sempadan negara pada April, sejumlah 4.27 juta penumpang direkodkan tahun lalu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di bangunan Komtar pada Rabu.

Terdahulu, Loke mengadakan lawatan kerja rasminya ke Pulau Pinang dengan meninjau operasi perkhidmatan awam di negeri itu termasuk melawat LTAPP dan menaiki feri sebelum pulang ke ibu negara menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS).