Kerajaan Negeri Perlis tidak akan memungkiri janji dalam melaksanakan projek-projek pembangunan di negeri ini walaupun berada di pihak pembangkang, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata pelbagai perancangan rapi telah dibuat terutama bagi merealisasikan hasrat menjadikan Perlis Negeri Bandaraya menjelang 2030.

Katanya sebahagian kecil daripada perancangan itu mampu dilaksanakan, seperti yang dilakukan di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) di Padang Besar.

"Kerajaan negeri sudah merancang pelbagai projek di kawasan itu. Apa yang kita rancang memang kita nak laksanakan cuma semua pihak harus faham kekangan dihadapi kerajaan negeri yang kini berada di pihak pembangkang.

"Bagaimanapun, ada petanda-petanda yang menunjukkan, walaupun (berada di pihak) pembangkang, Perlis tidak akan dianaktirikan (dalam soal pembangunan), Alhamdulillah," katanya semasa menggulung perbahasan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini, hari ini.

Azlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional bagi kawasan Bintong berkata pihaknya juga sangat menghargai semangat kerjasama semua pihak termasuk daripada semua wakil rakyat pembangkang di negeri ini yang menyatakan keterbukaan mereka untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat.

Sementara itu, Azlan berkata beliau akan bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan tentang penangguhan projek-projek pembangunan di Perlis untuk dinilai semula oleh Kementerian Kewangan.

"Penangguhan itu memberi kesan kepada rancangan pembangunan di Perlis sekali gus akan menyebabkan usaha untuk membawa ekonomi negeri ke tahap lebih baik terjejas.

"Tindakan itu juga akan memberi kesan negatif kepada rakyat dan saya perlu jelaskan semua perkara ini kepada perdana menteri bagi membolehkan semua projek-projek pembangunan di Perlis dapat diteruskan," katanya kepada pemberita selepas sidang DUN.

Semalam, sidang DUN dimaklumkan bahawa pembangunan CVIA perlu melalui proses penilaian semula di peringkat Contract Coordination Panel (CCP) Kementerian Kewangan.

Azlan berkata antara projek berimpak besar lain di Perlis yang turut dinilai semula ialah Hospital Padang Besar, Kangar Central dan sekolah sukan di Bukit Chabang.

Beliau berkata faktor yang menyebabkan semua projek berkenaan dinilai semula disebabkan kemajuan pembinaannya kini kurang daripada 15 peratus.

-- BERNAMA