NATIONAL
Projek pembangunan diluluskan bagi suku tahun pertama N. Sembilan lebih RM27 juta

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika sesi pertanyaan lisan pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 hari ini. - Foto Bernama
SEREMBAN: Status semasa projek pembangunan (perbelanjaan) diluluskan Kerajaan Negeri Sembilan pada suku tahun pertama ini sebanyak RM27,043,020.12 bagi tempoh Januari hingga Mac daripada kelulusan peruntukan berjumlah RM135 juta.
Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Sembilan telah membelanjakan RM27,043,020.12 daripada peruntukan RM135 juta pada suku pertama 2025, dengan Vot P50 mencatatkan perbelanjaan tertinggi sebanyak RM22,109,690 (49.13%).
- Sebanyak 361 projek dicatatkan, dengan 31 projek belum mula, 177 projek dalam prapelaksanaan, 143 projek dalam pelaksanaan, dan 10 projek siap.
- Negeri Sembilan mempunyai baki hutang RM937,788,903.29 dengan kerajaan Persekutuan, tetapi tiada pinjaman baharu sejak 2016. Bayaran hutang dinaikkan kepada RM3 juta pada 2025 dan telah dilunaskan pada Februari.
Aminuddin (PH-Sikamat) menjawab soalan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) diwakili Datuk Zaifulbahri Idris (BN-Chembong) yang ingin mengetahui status semasa projek pembangunan diluluskan bagi suku tahun pertama kewangan tahun ini.
Beliau berkata jumlah projek yang dicatatkan sehingga suku tahun pertama berdasarkan Vot Pembangunan adalah sebanyak 361 projek.
"Status fizikal projek tersebut ialah 31 projek dalam kategori belum mula, 177 projek dalam prapelaksanaan, 143 projek dalam pelaksanaan dan 10 projek siap,' katanya.
Menjawab soalan P.Gunasekaren (PH-Seremban Jaya) mengenai status hutang antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat, Aminuddin berkata sepertimana negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak, Negeri Sembilan juga tidak terkecuali mempunyai hutang dengan kerajaan Persekutuan.
"Namun begitu, sejak 2016, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang pinjaman atau hutang baharu dengan kerajaan Persekutuan," katanya.
Beliau berkata setiap tahun kerajaan negeri tanpa gagal berusaha melunaskan hutang ini mengikut kemampuan atau kedudukan kewangan kerajaan negeri dan jumlah baki semasa pinjaman sebanyak RM937,788,903.29 sehingga 31 Dis 2024.
"Peruntukan bayaran hutang telah dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta pada tahun ini di bawah vot tanggungan T04 - Bayaran Hutang Kerajaan.
"Bayaran sebanyak RM3 juta tersebut juga telah dibuat pada 27 Februari lepas," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami