MALAYSIA
Projek penyelenggaraan dipacu AI TNB menang anugerah inovasi ASEAN

Tenaga Nasional Berhad (TNB) memenangi Anugerah Inovasi Perusahaan 2025 anjuran ASEAN Innovation Business Platform (AIBP) bagi kategori Data dan Kecerdasan Buatan (AI) melalui inisiatif penyelenggaraan ramalan dipacu AI.
KUALA LUMPUR: Syarikat ulititi utama negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memenangi Anugerah Inovasi Perusahaan 2025 anjuran ASEAN Innovation Business Platform (AIBP) bagi kategori Data dan Kecerdasan Buatan (AI) melalui inisiatif penyelenggaraan ramalan dipacu AI.
Dalam satu kenyataan, AIBP memaklumkan anugerah tersebut telah disampaikan semasa Persidangan AIBP ke-49 yang berlangsung di sini pada hari Rabu lepas.
Anugerah tersebut yang dianggap sebagai penanda aras bagi rantau ini dalam transformasi digital, memberi pengiktirafan kepada syarikat yang berjaya menghasilkan penyelesaian inovatif, kebolehskalaan, mampu diperluaskan dan berimpak tinggi di seluruh ASEAN.
"Inisiatif penyelenggaraan ramalan dipacu AI oleh TNB ini telah mentransformasikan secara meluas pengurusan rangkaian kabel bawah tanah 11kV milik syarikat, yang setiap tahun kerap mengalami kerosakan."Projek rintis ini berjaya dilaksanakan di Selangor dengan ketepatan melebihi 80 peratus dalam meramalkan kegagalan hingga dua tahun ke hadapan sekali gus mengurangkan kadar kerosakan kabel 15 hingga 20 peratus dan meningkatkan kebolehpercayaan terhadap perkhidmatan pelanggan secara signifikan," menurut kenyataan itu.
TNB-ANUGERAH AIBP 2 KUALA LUMPUR
Pada majlis penyampaian anugerah itu, TNB telah diwakili para pegawai kanannya dalam pengurusan aset dan analitik, bersama-sama tokoh industri termasuk Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab; Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat AI Kebangsaan Shamsul Majid; dan Ketua Pegawai Eksekutif AIBP Irza Fauzan Suprapto.
Difahamkan, lebih 100 projek telah dicalonkan dalam kategori berkenaan merangkumi penyertaan daripada syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Turut ke peringkat akhir termasuk pemain utama industri seperti Petronas, Genting, AirAsia, Sime Darby, dan Allianz sekali gus menyerlahkah daya saing dan kekuatan inovasi projek TNB itu di peringkat serantau.
Projek yang memenangi anugerah ini telah melalui proses penilaian ketat oleh panel bebas yang terdiri daripada pakar dalam bidang kerajaan digital, dasar ekonomi, teknologi perusahaan, dan inovasi global.
Pembentangan akhir telah diadakan pada Mei lepas, dengan kriteria penilaian memberi tumpuan kepada impak, kebolehskalaan, inovasi dan penciptaan nilai.
TNB-ANUGERAH AIBP 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Projek dalaman TNB yang dibangunkan sepenuhnya oleh Unit Projek Analitik syarikat itu menggunakan modal mesin pembelajaran canggih bagi mengenal pasti risiko kegagalan dalam sistem kabel bawah tanah 11 kV.
Pendekatan ini membolehkan pengesanan risiko lebih awal, penjadualan penyelenggaraan yang lebih efisien, pengurangan gangguan tidak dirancang dan kos pembaikan kecemasan, selain meningkatkan kecekapan operasi dengan memberi keutamaan kepada infrastruktur kritikal serta memperkukuh kebolehpercayaan bekalan, khususnya di kawasan perindustrian dan bandar yang berisiko tinggi.
Projek ini merupakan kaedah operasi berasaskan AI yang dibangunkan sepenuhnya secara dalaman dan dilaksanakan secara menyeluruh dalam infrastruktur grid TNB.
Ia juga sejajar dengan pelan hala tuju Utiliti Pintar Malaysia 2030, yang menekankan pendigitalan grid, kebolehpercayaan dan kemampanan. Pihak AIBP turut menyatakan kejayaan projek ini dalam meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan pelanggan melalui penyelenggaraan proaktif.
Projek ini turut menjadi contoh nyata bagaimana teknologi AI boleh dioperasikan untuk menghasilkan impak yang boleh diukur dalam persekitaran infrastruktur kritikal yang dikawal selia.
Menurut AIBP, anugerah berkenaan telah disokong dan diiktiraf oleh Kementerian Digital, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), CyberSecurity Malaysia serta Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT)
Acara tersebut turut memberi tumpuan kepada kemajuan dalam landskap digital Malaysia, di samping menangani cabaran yang dihadapi oleh perusahaan tempatan dan organisasi perkhidmatan awam dalam melaksanakan transformasi digital.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami