KUALA LUMPUR:Proklamasi darurat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan jawapan yang tepat untuk menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi ketika ini, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Ahli Parlimen Muar itu membangkitkan tiga perkara berhubung darurat serta peranan kerajaan dalam membantu rakyat menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0). 

Syed Saddiq turut menggesa supaya kerajaan memanggil blok pembangkang untuk menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas pada tempoh darurat ini.



5 perkara penting Perutusan Khas Perdana Menteri (11 Jan 2021)

Perdana Menteri dalam perutusan khas berhubung Proklamasi Darurat pada Selasa, menyatakan bahawa sebuah Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sama ada tempoh kuat kuasa darurat akan diteruskan atau ditamatkan lebih awal dari tarikh yang ditetapkan.



Pengumuman Khas Darurat oleh Perdana Menteri

“Kerajaan harus bertindak adil dan saksama dengan pembangkang kerana darurat yang diisytiharkan secara rasmi ini adalah bertujuan untuk melawan wabak pandemik COVID-19," tegas Syed Saddiq.

Kedua, menurutnya lagi, kerajaan turut digesa supaya membentangkan rancangan untuk melindungi kebajikan ekonomi dengan segera kerana PKP dijangka akan dilanjutkan lebih lama daripada tarikh yang ditetapkan, iaitu sehingga 26 Januari depan.

BACA: PKP 2.0: Teks Penuh PM Muhyiddin

“Walaupun pelaksanaan PKP ini hanya dibuat selama 14 hari, saya jangka tempoh ini akan dilanjutkan,” kata Saddiq dalam kenyataan itu.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Perisytiharan Darurat: Bukan rampasan kuasa tentera, tiada perintah berkurung

“Malah, pengisytiharan darurat sebentar tadi (Selasa) meyakinkan saya bahawa ia akan berlanjutan sehingga Ogos 2021.”

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menyediakan perlindungan moratorium secara menyeluruh seperti yang dilaksanakan selepas PKP pada Mac, 2020.

“Bantuan wang tunai juga harus segera diumumkan dan dilaksanakan sekurang-kurangnya bermula pada hujung bulan Januari.

“Tidak ada alasan lagi untuk membiarkan rakyat tanpa perlindungan ekonomi oleh kerajaan.”

Ketiga, Saddiq menambah, walaupun beliau serta rakan pembangkangnya turut tidak berhasrat mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika ini, namun mereka tidak bersetuju bahawa darurat perlu diisytiharkan untuk tujuan menghentikan PRU.

“Kerajaan seharusnya fokus dan segera melaksanakan pelan untuk menghadapi krisis dan darurat bukan jawapan yang tepat.

“Namun, ia sudah diisytihar pada pagi Selasa. Maka, kerajaan harus segera menerima gesaan dan memanggil pembangkang untuk terlibat sama dalam urus tadbir negara.”




Pada Selasa, Muhyiddin mengumumkan bahawa Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sehingga 1 Ogos depan selepas mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong pada petang Isnin.