KUALA LUMPUR: Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri Sarawak perlu diisytihar untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bagi mengelakkan penularan COVID-19 menjadi lebih serius.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan jemaah menteri dalam mesyuarat 21 Julai lepas bersetuju untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong agar memperkenankan proklamasi darurat bagi seluruh negeri Sarawak selepas darurat yang berkuat kuasa kini berakhir 1 Ogos.

 
Sumber Facebook ts.muhyiddin

“Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Kerajaan Negeri Sarawak telah memperkenankan Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri Sarawak yang akan mula berkuat kuasa pada 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022.

“Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 21 Julai 2021 telah bersetuju untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar memperkenankan Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri Sarawak setelah darurat yang berkuatkuasa pada masa ini berakhir pada 1 Ogos 2021.

Dengan Proklamasi Darurat ini, Pilhan Raya Negeri Sarawak tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa kecuali jika darurat ditamatkan lebih awal.

BACA: COVID-19: Darurat di Sarawak hingga 2 Februari 2022

DUN Sarawak sepatutnya dibubar pada 7 Jun lalu, namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Berikutan itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak kekal sehingga DUN dibubarkan mengikut Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak.

Terdahulu, satu proklamasi baharu diperkenan Yang di-Pertuan Agong pada Khamis lalu dan telah diterbitkan dalam Warta Kerajaan pada Jumaat, 30 Julai 2021.

Ia dijangka dibentangkan di Parlimen di bawah Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan pada Isnin.

Proklamasi Darurat | Proklamasi darurat di Sarawak sehingga 2022