KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak agar berhenti melepaskan tohmahan yang tidak berasas terhadap keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenankan Proklamasi Darurat.

Menurut beliau, Proklamasi Darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong hanya bertujuan memberikan kuasa tertentu kepada kerajaan untuk mengurus pandemik COVID-19 dengan lebih cepat dan berkesan demi melindungi nyawa rakyat.

"Proklamasi Darurat yang dimasyhurkan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah bertujuan untuk memberikan bidang kuasa tertentu kepada kerajaan untuk mengurus pandemik COVID-19 dengan lebih cepat, cekap dan berkesan.

"Tindakan-tindakan serta-merta sedang diambil oleh kerajaan di bawah peruntukan-peruntukan Ordinan Darurat yang sedang berkuatkuasa. Proklamasi Darurat oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai tujuan lain selain daripada membendung penularan COVID-19 dengan lebih berkesan dan melindungi nyawa rakyat," katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri pada Khamis.

Tambah Muhyiddin, meskipun terdapat segelintir pihak cuba mencabar Proklamasi Darurat di Mahkamah, namun beliau sentiasa menghormati sistem dan proses perundangan negara yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

"Walaupun ada segelintir pihak yang cuba mencabar Proklamasi Darurat di mahkamah, saya percaya bahawa Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara amat memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara.

"Sebagai ketua kerajaan, saya juga sentiasa menghormati sistem dan proses perundangan negara kita yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

"Saya ingin ulangi komitmen saya bahawa saya akan menasihati Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja penularan wabak COVID-19 telah reda dan Pilihan Raya Umum adalah selamat untuk diadakan," katanya lagi.

Dalam masa sama, Muhyiddin turut menyeru kepada semua pihak sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang agar dapat bersama-sama berganding bahu menggembeleng usaha memerangi wabak COVID-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik.