Skip to main content

Malaysia

Proklamasi kedudukan Yamtuan Besar tidak sah, tidak patuhi perkara 10 UUTKNS - AGC

[TB]_JABATAN PEGUAM NEGARA_JABATAN PEGUAM NEGARA
Dalam satu kenyataan hari ini, AGC berkata kesahan serta kesan Proklamasi bertarikh 19 April 2026 hendaklah ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).
Advertisement

KUALA LUMPUR: Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, jelas Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dalam satu kenyataan hari ini, AGC berkata kesahan serta kesan Proklamasi bertarikh 19 April lalu hendaklah ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).

AGC berkata pihaknya sebelum ini telah memberikan pandangan awal bahawa Proklamasi berkenaan adalah tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959.

Menurut kenyataan, tiada keterangan bahawa mana-mana faktor hilang kelayakan yang dinyatakan dalam Perkara 10(1) UUTKNS 1959 terpakai kepada Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

“Walaupun jelas Dato’-Dato’ Undang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan supaya DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diturunkan takhta, Perkara 10 UUTKNS turut memperuntukkan tatacara dan asas-asas pertimbangan sebelum Dato’-Dato’ Undang boleh membuat keputusan sedemikian.

“Setakat hari ini tiada fakta yang menunjukkan tatacara yang diperuntukkan tersebut telah dipatuhi,” menurut kenyataan itu.

AGC turut mempersoalkan kesahan beberapa Dato’-Dato’ Undang yang menandatangani Proklamasi berkenaan, susulan dakwaan mereka tidak lagi memegang jawatan secara sah selepas diturunkan mengikut adat di luak masing-masing.

"Keabsahan beberapa Undang yang menandatangani Proklamasi tersebut adalah dipertikaikan kerana penurunan mereka telah dilakukan melalui adat di luak masing-masing.

"Oleh itu sebenarnya komposisi Undang Yang Empat adalah tidak lengkap pada masa yang material," ujar kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, AGC menghormati kedudukan Dato’-Dato’ Undang Negeri Sembilan serta mengakui pelantikan dan penurunan setiap mereka tertakluk kepada peraturan adat di luak masing-masing.

Pada masa sama, AGC berkata UUTKNS 1959 turut memperuntukkan penubuhan Dewan Undangan dan Keadilan.

Menurut Perkara 16 UUTKNS 1959, persoalan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan jawatan Undang serta apa-apa perkara yang dibawa oleh Yang di-Pertuan Besar, terletak dalam bidang kuasa Dewan.

"Menurut Perkara 16 (3) UUTKNS 1959, nasihat Dewan mengenai persoalan sedemikian adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

"Oleh yang demikian, kenyataan media atau pengumuman oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan tersebut adalah dianggap sebagai tidak mempunyai sebarang kesan di sisi undang-undang memandangkan mereka tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti mahupun kuasa di bawah UUTKNS 1959 untuk membuat pengumuman tersebut," jelas kenyataan.

AGC turut menegaskan tiada asas di sisi undang-undang bagi ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk bersandar kepada Proklamasi bertarikh 19 April 2026 bagi membuat pengumuman tersebut.

“Berdasarkan perkara-perkara di atas, tindakan pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan Proklamasi tersebut adalah menjadi suatu tindakan yang tidak sah kerana tidak berperlembagaan,” tambah kenyataan sama.

Selanjutnya, AGC berkata pihaknya turut mengambil maklum bahawa perkara berkaitan sedang dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban.

Menurutnya, terdapat perintah mahkamah dalam bentuk injunksi interlokutori yang masih berkuat kuasa.

Justeru, AGC menyeru semua pihak supaya menghormati proses mahkamah dan membenarkan perkara itu diselesaikan secara teratur.

Pada 9 September lalu, Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai menunjukkan dokumen didakwa proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dikatakan telah ditandatangani oleh Menteri Besar.

Ia susulan kenyataan media Ismail pada 6 September lalu yang menzahirkan sokongan taat setia kepada Tuanku Muhriz.

Katanya, fokus kini adalah untuk menjalankan amanah sebagai Mennteri Besar demi kepentingan rakyat dan negeri.

Namun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mendakwa telah dipaksa menandatangani dokumen proklamasi terbabit, tanpa menyatakan pihak atau individu yang memaksanya.

Awal hari ini, Ismail sahkan bahawa proklamasi berkenaan penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah diputuskan dan disahkan secara sebulat suara oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Menurut Ismail, keputusan itu dicapai hasil perbincangan mendalam serta persetujuan penuh dalam Mesyuarat Exco yang berlangsung sebelum ini.
 

Must Watch Video

Advertisement