Lima lelaki termasuk tiga warganegara India berdepan tali gantung selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rembau, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah, dua minggu lalu.

Tertuduh Azizul Shahari, 32 tahun V Gunasegar, 29 tahun dan tiga warga India iaitu Shajahan Yoosaf Kunju, 31 tahun Noushadkutty Sulaiman, 40 tahun serta Nahas Aboobaker, 41 tahun hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Majistret Tan Chai Wei.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa mengedar dadah jenis syabu seberat 68.24 kilogram di sebuah ladang ternakan lembu di Jalan Pilin, Kampung Kundur Tengah, Pedas, Negeri Sembilan, sekitar 4.15 petang, 13 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39b (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum mengikut seksyen 39b(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K S Rinisha Priyya manakala semua tertuduh diwakili peguam, Shah Rizal Abdul Manan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 20 Februari lalu melaporkan, polis dari Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Negeri Sembilan membongkar kegiatan mereka hasil serbuan di ladang ternakan lembu berkenaan yang dijadikan makmal memproses syabu.