Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini meneruskan prosiding pengurusan kawalan tadbir urus syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan memanggil Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Prosiding yang dimulakan jam 10 pagi diketuai Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin sendiri yang hadir kira-kira jam 10.20 pagi di Bangunan Parlimen.

Mesyuarat dijangka berakhir kira-kira jam 1 petang.

Sebelum ini, PAC telah selesai mengadakan prosiding pengurusan kawalan tadbir urus 1MDB membabitkan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dengan memanggilnya sebanyak dua kali.

Prosiding sebelum ini berlangsung selama kira-kira tiga jam di mana Arul Kanda menerangkan mengenai pelan rasionalisasi 1MDB.

Kali terakhir Arul Kanda dipanggil memberi keterangan kepada PAC pada 18 Disember lalu.

PAC juga sebelum ini dilaporkan akan memanggil bekas pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh pada Rabu.