Skip to main content

Malaysia

Protes 'Tangkap Azam Baki' diteruskan walaupun lantikan KP baharu SPRM - Bersih

Muhammad Faisal ketika Jelajah Ceramah Grand Finale Tangkap Azam Baki di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada Rabu. Foto: Bersih._Sinar Harian
Muhammad Faisal ketika Jelajah Ceramah Grand Finale Tangkap Azam Baki di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada Rabu. - Foto: Bersih/Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Protes “Tangkap Azam Baki” akan diteruskan seperti dirancang walaupun kerajaan mengumumkan pelantikan Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Menurut Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz, pihaknya mengalu-alukan pelantikan Abdul Halim bagi menggantikan Tan Sri Azam Baki, namun menegaskan bahawa perhimpunan tersebut bukan berkisar kepada pertukaran kepimpinan semata-mata.

Advertisement

"Bagi Bersih ia adalah permulaan baik untuk memulihkan isu integriti dalam negara.

"Namun untuk ke hadapan, kerajaan harus lakukan perkara lebih besar termasuk menjawab dakwaan mafia korporat, salah guna kuasa melibatkan SPRM.

"Justeru, penting untuk kerajaan Madani segera umumkan penubuhan RCI untuk menyelesaikan dakwaan ini," katanya.

Protes 'Tangkap Azam Baki' akan berlangsung  di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, pada 3 petang, hari ini.  

Dalam masa sama, Muhammad Faisal turut menggesa kerajaan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap SPRM, khususnya dalam aspek pelantikan dan kebertanggungjawaban.

Pada Sabtu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, telah memperkenankan pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 13 Mei ini.

Kontrak Azam Baki dijadualkan tamat pada 12 Mei.

Menurut Shamsul Azri, cadangan pelantikan tersebut telah dikemukakan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat.

Must Watch Video