Skip to main content

Politik

MCA perkemas strategi, kemuka calon muda fasih tiga bahasa hadapi PRU16

https://www.facebook.com/photo?fbid=942397885247177&set=pcb.942398761913756
Choo Seong (kiri) bersama sebahagian pengamal media yang hadir sempena program Santai Media Perak pada Jumaat. - Facebook Choo Seong

IPOH: MCA mahu mengetengahkan barisan pemimpin muda yang fasih menguasai tiga bahasa sebagai calon bagi menarik semula sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan parti kekal relevan dalam mendepani perubahan demografi pengundi, khususnya golongan muda yang kini lebih cenderung menilai kredibiliti individu berbanding kekuatan parti semata-mata.

Advertisement

Menurutnya, politik semasa menunjukkan rakyat tidak lagi mahu terikat dengan retorik politik, sebaliknya menilai keupayaan sebenar pemimpin dalam membawa dasar, idea serta penyelesaian yang praktikal.

“Kita mahu melangkaui politik identiti kerana rakyat sudah serik dengan retorik politik.

“Untuk menjadi calon MCA, mereka bukan sahaja perlu berkhidmat di peringkat akar umbi, tetapi juga berkeupayaan berdebat dan membincangkan dasar di Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen.

“Antara kriteria utama yang ditetapkan ialah penguasaan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, selain bahasa Inggeris dan Cina mengikut kesesuaian setempat,” katanya sempena program Santai Media Perak di sini semalam.

Beliau berkata, usaha mengenal pasti dan melatih calon telah dilaksanakan di peringkat pusat dan negeri termasuk Johor dan Melaka yang dijangka berdepan pilihan raya negeri dalam masa terdekat.

Menurutnya, beberapa siri latihan telah diadakan melibatkan puluhan peserta yang dikenal pasti berpotensi, merangkumi aspek komunikasi, penulisan, pengendalian media serta interaksi dengan masyarakat.

“Latihan ini dilaksanakan secara berperingkat dan kita akan terus membuat penilaian dari semasa ke semasa sebelum menentukan calon yang benar-benar layak diketengahkan,” katanya.

Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri itu turut memaklumkan bahawa pendekatan parti kini lebih terbuka, termasuk memberi ruang kepada ahli di pelbagai peringkat untuk tampil menyuarakan isu rakyat secara kreatif melalui platform media sosial.

“Kita mahukan individu yang bukan sahaja petah bercakap, tetapi mampu mengangkat isu rakyat secara berkesan dan relevan dengan kehendak semasa,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan peranan pemimpin berpengalaman dalam parti terus diiktiraf sebagai lapisan sokongan penting bagi membimbing calon muda yang akan menjadi barisan hadapan.

“Kebersamaan dalam parti merangkumi semua peringkat umur. MCA telah melalui pelbagai fasa jatuh bangun, justeru parti perlu terus berubah dan bertindak mengikut realiti semasa bagi memastikan kekal relevan,” katanya. - Sinar Harian

 

Must Watch Video