Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kereta kebangsaan Proton sebagai satu kebanggaan negara.

“Kebanggaan negara. Sentiasa ada tempat di atas meja saya, dan di hati saya. Selamat Ulang Tahun ke-30 #Proton,” tulis beliau dalam posting terbaru di laman Instagram najib_razak.

Gambar yang menunjukkan sebuah kereta Proton di mejanya itu turut dikongsikan di laman Facebook dan Twitternya.

Najib menyatakan pujian terhadap kereta pertama Malaysia itu, meskipun akhir-akhir ini sering ‘diserang’ oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan pengasas Proton Holding.




Kedua-dua pemimpin dan bekas pemimpin tertinggi negara itu dilihat tidak sehaluan, selepas Dr Mahathir mengaitkan Najib dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib juga mendakwa Dr Mahathir merupakan individu di sebalik pembohongan yang dibuat oleh akhbar The Wall Street Journal dan Sarawak Report yang mendakwa dana hampir AS$700 juta (RM2.65 bilion) dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Proton merupakan cetusan idea Dr Mahathir yang telah mengasaskan syarikat tersebut pada Mei 1983.

Sementara itu, Proton menyambut ulang tahun ke-30 pada 9 Julai selepas model pertama Saga mula dikeluarkan ke pasaran domestik pada 1985.

Menuju ke hadapan, pelbagai rancangan jangka panjang direncanakan bagi memastikan Proton kekal berdaya saing di pasaran tempatan seterusnya mampu menempatkan diri di pasaran global.