JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga asing maut selepas dikelar pada bahagian leher sebelah kanan dalam pergaduhan dengan rakan senegara di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Mohd Sohaimi Ishak, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung pergaduhan warga asing di sebuah bilik sewa bangunan kedai di taman berkenaan pada jam 11.15 malam.

"Sebaik tiba di lokasi, polis menemukan pekerja kedai berusia 37 tahun itu dalam keadaan berlumuran darah serta tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia," katanya, dalam kenyataan,di sini, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk dibedah siasat.

"Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada mangsa memprovokasi suspek yang dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan berlakunya pergaduhan," katanya .

Bagaimanapun, Mohd Sohaimi, berkata bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya menahan dua suspek berusia 39 dan 40 tahun di kawasan bangunan kedai Taman Desa Cemerlang pada jam 12.10 tengah malam tadi.

"Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan polis merampas tiga pisau boleh laras yang terdapat kesan darah dan satu minuman keras, selain menemukan 13 'swab' kesan darah di lokasi kejadian dan pada badan suspek.

"Kedua-duanya suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari bermula hari ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-- BERNAMA