SUNGAI PETANI: Seorang penghuni pusat penjagaan dan rawatan pesakit mental di Taman Kempas dekat sini, direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lagi penghuni lelaki.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan memaklumkan lelaki berusia 51 tahun yang berasal dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu, direman bermula hari ini sehingga Isnin.
Sebelum ini media melaporkan mengenai seorang lelaki berusia 42 tahun yang menghidap Skizofrenia, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di pusat yang sama, Isnin lepas.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian dada.
Hanyan berkata suspek mempunyai sembilan rekod lampau membabitkan kes jenayah dan enam rekod berkaitan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
-- BERNAMA