JERANTUT: Parlimen Jerantut menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Jika dilihat kepada ketiga-tiga calon, kesemuanya merupakan muka baharu yang dipertaruhkan oleh setiap parti yang bertanding.

Calon BN, Datuk Mohd Zukarmi Abu Bakar dilihat mempunyai tugas berat untuk mempertahankan kerusi yang disandang parti itu dalam PRU lalu.

Astro AWANI mendekati Mohd Zukarmi menerusi programnya di Kota Gelanggi 3 baru-baru ini.


Faktor anak tempatan

Jelas Mohd Zukarmi, yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Jerantut, faktor anak tempatan memberinya kelebihan berbanding dua orang pesaingnya.

"Dari segi kekuatan, saya anak tempatan dibandingkan dengan dua lagi calon, dan dalam politik saya telah berkecimpung selama 25 tahun lebih.

"Banyak perkara telah saya laksanakan terutama waktu rakyat menghadapi kesusahan pandemik COVID-19 dan banjir.

"Kadang kala saya sendiri memikul barang-barang bantuan berkenaan kepada penduduk yang terkesan COVID-19 dan banjir. Saya rasa itu kelebihannya kerana saya telah taburkan bakti dan jasa kepada masyarakat di Parlimen Jerantut," jelasnya.


Mahu perbaiki infrastruktur

Ditanya mengenai misi dan visi yang bakal dibawa ke Parlimen Jerantut sekiranya diberi mandat, Mohd Zukarmi berkata, sektor pelancongan dan infrastruktur seperti jalan raya antara fokus ingin diselesaikan.  

"Dari segi pembangunan saya akan lebih tertumpu kepada pelancongan kerana kita sedia maklum Jerantut ini kawasan pelancongan, dengan adanya Taman Negara Pahang, kawasan rekreasi lain banyak terdapat di Jerantut.

"Selain itu, kita ada sejarah di Jerantut iaitu pahlawan Mat Kilau. Baru-baru ini filem Mat Kilau telah meletup (di pawagam) dan ramai yang datang ke galeri dan makam Mat Kilau untuk menziarah.

"Jadi, bagi saya pelancongan merupakan satu aktiviti boleh meningkatkan ekonomi di Jerantut itu sendiri," katanya lagi.


Yakin takluk Jerantut

Bagi calon PN pula, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat, meskipun bukan anak tempatan namun beliau yakin mampu menakluk kerusi Parlimen itu.

"Sewaktu saya bertanding PRU14 juga saya dari Gombak, jadi suasana politik sekarang semakin berubah. Hanya ada satu parti sahaja (ada) masalah tukar-tukar orang, tapi parti lain seperti Pas tidak.

"PKR sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpindah ke Tambun, begitu juga DAP. Parti-parti baru lebih dinamik, mereka lebih meletakkan kepimpinan itu di tempatnya.

"Pada saya, saya tidak canggung, sebab kita dah ada pengalaman pada PRU14, kita di Gombak pun kita bukan anak tempatan," katanya.


Lebih muda dan bertenaga

Jelas Khairil Nizam, sebagai calon yang lebih muda berbanding dua lagi calon, beliau yakin dapat membawa suara Jerantut ke Dewan Rakyat jika diberi mandat.

"Pas meletakkan saya di sini ada sebab, yang saya nampak Parlimen (yang) cukup luas dengan tenaga lebih muda, kita (akan) mampu tangani isu-isu yang ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, DUN Damak dan paling besar di DUN Tahan.

"Dalam ceramah-ceramah, kami minta di Jerantut inibiar empat kosong (menang Parlimen dan tiga DUN), biar semua sekali kita menang biar kita boleh urus.

"Kalau isu air tidak boleh diselesaikan di peringkat negeri, saya akan angkat isu itu ke peringkat pusat.

"Kalau isu tanah tak dapat diselesaikan di peringkat negeri, maka kita boleh bercakap dengan menteri di atas untuk berbincang dengan Menteri Besar bagaimana nak selesaikan sebab kita tahu masalah tanah ini peringkat negeri," jelasnya lagi.


Mahu bantu Jerantut

Sementara itu, bagi calon PH pula, Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan yang juga bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), yakin banyak perubahan boleh dilakukan di Parlimen itu.

Ujarnya, kos sara hidup adalah antara fokus utamanya sekiranya diberi mandat pada 19 November ini.

"Kalau pertamanya, kos sara hidup rakyat di Jerantut juga diberikan perhatian utama PH.

"Rata-rata saya dapati rakyat di sini bukan orang yang senang, matlamat saya mensejahterakan rakyat jerantut sangat kritikal," ujarnya.


Jerantut ketinggalan

Tambah Hassan Basri, meskipun di bawah pentadbiran BN sebelum ini, masih banyak isu-isu yang belum diselesaikan berkait rakyat di Parlimen itu.

"Perkara-perkara asas tidak selesai di sini, antaranya pemilikan tanah paling kritikal daripada DUN Tahan sampai ke Felda, dah bertahun-tahun ada yang dah tiga generasi.

"Saya hairan kenapa ini berlaku, bukan satu dua orang yang kita tak boleh jadikan kes, ini adalah keluhan rakyat di sini," katanya kepada Astro AWANI.

Dari sudut prasarana juga, katanya, Jerantut dilihat lebih mundur berbanding bandar lain di Pahang dan memerlukan perubahan bagi memanfaatkan rakyat.

Prasarana, jalan di Jerantut ini sangat daif, jadi rakyat di sini tidak terpelihara dengan kemudahan asas.

"Ketiga, masalah air tidak selesai sedangkan Jerantut kaya dengan air, (kejadian) banjir banyak berlaku.

"Keempat, kemudahan-kemudahan lain, contohnya di Batu Balai, bandar yang diasaskan pada tahun 1800-an lagi, tapi sehingga hari ini mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pun tiada," ujarnya lagi.

Pada PRU14 lalu, Parlimen Jerantut dimenangi Datuk Ahmad Nazlan dari BN dengan majoriti 5,908 undi menewaskan calon Pas, Yohanis Ahmad dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wan Mohd Shahrir.

Mengikut data terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 87,051 pemilih layak mengundi bagi Parlimen itu.