KOTA KINABALU: Kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) boleh menjadi contoh sekiranya kerajaan perpaduan perlu dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Romzi Ationg berpandangan, begitu pun, perkara utama perlu dilihat apakah kerajaan perpaduan tersebut mampu mengekalkan kerjasama untuk memastikan kestabilan.

Is sekali gus mengelakkan konflik berpanjangan antara pemimpin mahupun parti gabungan, tambah beliau.

“Sebagaimana kerajaan BN-GRS, setiap masa ia berlaku konflik.

“Jadi itu yang perlu dielakkan, konflik berterusan dan Perdana Menteri nanti perlu mencipta satu formula yang dapat memastikan perkara-perkara yang sama berlaku di Sabah ini, tidak berlaku di peringkat Persekutuan,” katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Selasa.

Melihat kepada komposisi kerusi sebelum pembubaran Parlimen, Romzi berkata tiada satu pun blok atau gabungan yang boleh memperoleh kemenangan mudah atau dua pertiga.

Senario itu, katanya menunjukkan pembentukan kerajaan perpaduan seperti tidak dapat dielak.

“Jadi itu bermakna ada keperluan untuk kerajaan perpaduan, sama ada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), atau Barisan Nasional (BN) itu sendiri, ia perlu bergabung dengan parti ataupun gabungan untuk membentuk sebuah kerajaan.

“Akhirnya nanti, saya rasa itu (kerajaan perpaduan) yang akan berlaku.

“Tetapi seperti mana yang berlaku di Sabah, setelah wujud kerajaan perpaduan, adalah ketidakkestabilan. Itu yang akan berlaku sebab antara gabungan atau pemimpin, defisit kepercayaan itu lemah.

“Paling berhati-hati, atau sangsi antara satu sama lain. Jadi, itu menyebabkan kerajaan gabungan sedikit bermasalah terutamanya apabila meluluskan pindaan, perundangan dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Romzi berkata, keputusan kebanyakan parti atau gabungan yang mahu bergerak solo pada PRU15 juga memberi kekeliruan kepada pengundi untuk membuat pilihan.

Namun ujar beliau, setiap parti atau gabungan politik mempunyai kebebasan untuk merancang percaturan mereka dalam pilihan raya.

“Kalau dalam satu-satu kawasan itu ada lima atau enam calon (bertanding), dan mungkin parti kecil ada menampilkan calon yang baik. Tetapi pengundi sedar, parti kecil itu mungkin tidak boleh membentuk kerajaan.

“Maka, pengundi akan keliru sama ada nak pilih calon, atau parti,” ujarnya.