KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap rakyat menilai pencapaiannya dengan adil, berdasarkan apa yang sudah dilakukan dalam tempoh lebih setahun menerajui pentadbiran negara.

Menurut Perdana Menteri, berbanding pesaingnya yang lain, pencapaiannya dapat dilihat dari aspek kejayaan negara keluar dari kemelut pandemik COVID-19, selain perkembangan ekonomi pasca pandemik dan kestabilan politik.

Antara pencapaian terbaik pentadbiran beliau yang digariskan Ismail Sabri sepanjang 14 bulan ialah  menjadikan Malaysia sebagai antara negara terbaik di dunia mengendalikan krisis kesihatan khususnya pandemik COVID-19.

Kata beliau, bermula dengan jumlah kes harian sebanyak 24,000, pentadbiran beliau menguruskan krisis itu dengan baik terutama berhubung pemberian vaksinasi kepada rakyat mencatat peratusan tertinggi berbanding negara-negara lain.

"Ekonomi memang teruk ketika itu, tetapi Bank Negara mengisytiharkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga kita mencapai 14.2 peratus, menjadikan negara kita sebagai salah satu negara yang terbaik daripada segi pencapaian KDNK. Daripada 5 peratus pada suku pertama menjadi 8.9 peratus pada suku kedua dan meningkat 14.2 peratus pada suku ketiga tahun ini.

"Daripada segi pengangguran kita dapat mengurangkannya sehingga 3.6 peratus, kalau kurang daripada 4 peratus ia dianggap sebagai guna tenaga kerja penuh, bermakna pengangguran juga kita dapat kurangkan.

"Begitu juga dengan Pelaburan Langsung Asing (FDI), pelaburan asing, perdagangan dan sebagainya. Jadi hari ini, kita buktikan daripada segi pemborongan dan peruncitan meningkat dengan begitu tinggi. Jadi daripada segi ekonomi juga dapat diselesaikan berbanding negara-negara lain.

"Dalam mengambil keadaan negara yang tidak stabil ketika itu (semasa baru menjadi Perdana Menteri), saya juga berjaya menstabilkan politik negara.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita yang kerajaan bersama pembangkang boleh duduk semeja menandatangani memorandum persefahaman (MoU) supaya diwujudkan gencatan senjata di dalam negara yang menjadikan politik stabil ketika itu.

"Malah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan diluluskan dengan sokongan semua pihak secara sebulat suara," jelas Ismail Sabri dalam program Bual Bicara Khas Bersama Perdana Menteri: Kestabilan & Kemakmuran, yang disiarkan malam ini.

Tambahnya, hal itu merupakan kelebihan baginya berbanding tiga lagi calon Perdana Menteri yang lain iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah dapat membuktikan kejayaannya sebagai Perdana Menteri. Tun Dr Mahathir Mohamad yang memerintah selama 22 bulan digulingkan oleh parti gabungan mereka sendiri. Selepas itu Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi selepas 18 bulan juga tumbang.

"Walaupun saya 14 bulan (mentadbir negara), tetapi tidak dibubarkan oleh sesiapa. Jadi kalau sepanjang tempoh itu saya boleh menyelesaikan pelbagai isu yang dibangkitkan, cubalah beri saya lima tahun. Banyak perkara yang boleh saya lakukan," kata beliau lagi.