Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira faktor cuti umum sempena Hari Keputeraan Sultan Perak yang jatuh pada 4 November.
"Minggu depan (umum senarai calon untuk BN Perak). Sebab saya kena ambil kira 4 November itu merupakan hari cuti (umum) di negeri Perak.
"Oleh kerana kemungkinan ada kakitangan kerajaan terutama yang terlibat dengan kerajaan negeri, mereka kena melalui proses meletakkan jawatan.
"Jadi seboleh mungkin kita nak mengelakkan dia daripada lanjut sampai Jumaat, sebab Jumaat pejabat tutup. Bermakna di negeri Perak ini kita akan cuba untuk membuat pengumuman lebih awal, jika kita dapat senarai (calon) lebih awal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita tarikh yang menjadi pilihan BN Perak untuk mengumumkan senarai calonnya sempena PRU15.
Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan berkata, senarai itu dijangka diterima pada 1 November.
"Saya jangka senarai ini mungkin akan sampai ke tangan kita pada 1 November, jadi 2 November kita sudah boleh buat pengumuman," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan YTL Communications Sdn. Bhd., di sini pada Khamis.
Hadir sama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications Sdn. Bhd., Wing K Lee.
Sementara itu, mengulas mengenai perang bendera parti yang sudah bermula di beberapa kawasan di negeri ini meskipun tempoh berkempen belum bermula, Saarani berkata, perkara itu tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ini keluarkan peraturan selepas penamaan calon sahaja, dia tak keluar pula peraturan sebelum penamaan calon.
"Jadi, sekarang ini bebaslah untuk semua parti buat ceramah masing-masing, pacak bendera pula itu tertakluk kepada peraturan PBT masing-masing sebab SPR punya peraturan hanya bermula dari penamaan calon," jelas beliau.
Menjawab soalan itu bagi pihak PBT, Rumaizi berkata, pihak yang memasang bendera perlu membuat permohonan terlebih dahulu.
"Dia kena buat permohonan (naikkan bendera parti), kalau permohonan lulus boleh, kalau tidak lulus memang ditolak," tegasnya.