TANJUNG KARANG: Barisan Nasional (BN) Selangor tidak rasa tergugat dengan calon-calon yang dikemukakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar menegaskan, apa yang lebih penting parti itu akan meletakkan calon yang boleh menang.

“Kita di Selangor kita ada juga calon muda.

“Tidak (tergugat dengan calon PH). Kita tidak ada masalah. Kalau dia nak letak calon profesional itu dia, tetapi kita BN akan letak calon yang boleh menang.

“Kalau dulu dia letak profesor lagi di Sabak Bernam, kalah juga dia. Letak doktor, peguam pun kalah juga,” katanya kepada media selepas melawat Hospital Tanjung Karang di sini pada Khamis.

Katanya lagi, calon yang akan diketengahkan BN adalah mereka yang sudah faham dengan masalah rakyat setempat dan sedia berkhidmat untuk rakyat.

“Bagi saya jadi wakil rakyat ini apa yang penting ialah memberikan khidmat. Namun, kalau profesor pun tak faham masalah rakyat, macam mana nak berkhidmat untuk rakyat,” ujarnya.

Kata beliau, isu-isu di bandar dan luar bandar adalah berbeza-beza, sekali gus menuntut calon yang bersesuaian.

“Calon PH ke, calon BN yang penting kita meletakkan calon yang boleh menang. Kita tak nafikan mungkin dalam kawasan bandar, politik dia lain.

“Kalau luar bandar lebih banyak kepada politik pembangunan. Namun, dalam bandar ia melibatkan politik yang tidak melibatkan pembangunan.

“Jadi calon yang kita cadang ini kita kena sesuaikan tempat itu. Pendekatannya tidak sama,” jelasnya.