LARUT: Pihak terlibat diminta tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa jika mempunyai maklumat berhubung dakwaan berlakunya perbuatan sogokan atau rasuah ketika proses pengundian pos yang dikesan di mana-mana kawasan di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihak yang membuat dakwaan itu perlu mengemukakan bukti supaya tindakan boleh diambil berhubung kesalahan berkenaan.

"Kalau betul mereka (pengundi) dibayar, kita minta supaya membuat laporan agar pihak berkuasa boleh menjalankan siasatan secara mendalam. Siasatan akan dilakukan dengan adil tidak kira di mana sahaja.

"Jadi kalau benar yakin perlu menunjukkan bukti dan kita akan mengambil tindakan mengikut perundangan," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Beramah Mesra Bersama Warga Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Selama di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun menafikan perkara itu dan menganggap dakwaan tersebut sebagai fitnah serta tuduhan jahat kepada pasukan keselamatan.

Selain itu, katanya tuduhan sedemikian telah mencemarkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menghina anggota tentera bukan hanya di Bera, malah di seluruh negara yang selama ini berkhidmat mempertahankan negara serta dihormati masyarakat.

-- BERNAMA