Malah, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu turut mengesahkan bakal bertanding di Pagoh bagi mempertahankan kerusi itu.
"Saya cakap itu maknanya pilihan raya ini mungkin yang terakhir buat saya. Tidak mengapalah. Saya juga nak bagi tahu rakan-rakan saya supaya berikanlah peluang kepada orang muda-muda.
"Hampir 50 tahun saya terlibat dalam politik nasional dan telah pun memegang pelbagai jawatan. Maka saya merasakan ia sudah cukuplah. Kasi chance pada orang lain," katanya pada sidang media selepas sesi ramah mesra bersama masyarakat Cina di Bukit Kepong, di sini, pada Jumaat.
Bagaimanapun ujarnya, beliau tetap akan menabur khidmatnya untuk tempoh lima tahun lagi sekiranya gabungan itu menang dalam PRU15 nanti.
Katanya, PN, khususnya parti Bersatu, masih mempunyai pelapis muda yang berkaliber serta mampu menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin sebaik pengunduran dirinya itu.