KOTA KINABALU: Penyandang kerusi Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan calon-calon yang akan bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya tidak memainkan sentimen kaum atau agama ketika berkempen bagi menjaga keharmonian masyarakat kawasan berkenaan.

Hishammuddin yang juga Menteri Kanan Pertahanan berkata calon yang mahu menawarkan diri bertanding di Parlimen Sembrong perlu peka dengan selok-belok di kawasan berkenaan yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama yang hidup aman serta harmoni sejak sekian lama.

Beliau berkata Sembrong mempunyai pecahan kaum Melayu, India dan Cina yang unik malah di kawasan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang R.Vidyananthan daripada masyarakat India, ADUN Paloh Lee Ting Han daripada masyarakat Cina dan dirinya daripada masyarakat Melayu.

"Saya bersikap terbuka untuk sesiapa sahaja bertanding... kawasan Sembrong ini unik, jadi calon kena pandai bawa diri dan akhirnya rakyat yang akan menentukannya," katanya kepada pemberita selepas melawat Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sidang media Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli baru-baru ini yang mengumumkan Setiausaha Pengelola PKR Johor yang juga Ketua Cabang Parit Sulong Hasni Abas sebagai calon PKR bagi kerusi Parlimen Sembrong pada PRU15.

Pada PRU15, Hishammuddin diumumkan Barisan Nasional mempertahankan kerusi itu yang disandangnya sejak PRU11 pada 2004 hingga PRU14 pada 2018.

Pada PRU14, Hishammuddin menewaskan calon PKR Onn Abu Bakar dengan majoriti 6,662 undi.

-- BERNAMA