KOTA BHARU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menubuhkan pasukan petugas berkuat kuasa Khamis bagi memantau sebarang berita palsu yang tular di media sosial sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa berkata pasukan itu akan dianggotai lebih 100 polis serta kakitangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"PDRM sudah membuat permohonan kepada saya untuk memberi peranti bagi task force ini dalam menangani berita palsu di media sosial.

"Saya telah bersetuju dan meluluskan untuk mendapatkan peralatan dalam membolehkan pasukan ini berfungsi dalam memantau semua pemberitaan palsu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Komuniti eSports Keluarga Malaysia @Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Melor di sini semalam.

Annuar berkata 'task force' yang dibentuk itu akan bertindak memantau sepanjang masa seberapa banyak berita-berita palsu yang muncul agar dapat memadam dengan segera maklumat tersebut tanpa perlu menunggu laporan dibuat.

"Nak tunggu laporan dan menyiasat adalah tidak sesuai waktu pilihan raya ini kerana kalau calon yang menjadi mangsa (berita palsu), jadi teraniayalah calon itu.

"Oleh itu, 'task force' ini dibenarkan mengambil tindakan serta-merta," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai supaya membuat laporan segera kepada MCMC sekiranya melihat sebarang hantaran berita yang berunsur fitnah dan palsu di laman sosial.

"Penyebaran berita palsu ini boleh membawa kesan negatif kepada orang ramai, malah sekiranya dibiarkan ia dapat memberi tekanan sehingga ada yang sanggup bunuh diri," katanya.

-- BERNAMA