PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyeru semua 21 juta pengundi yang layak untuk keluar mengundi pada 19 November ini sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Kempen #VoteFuture yang dilancarkan pada Rabu adalah sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan orang ramai menjalankan tanggungjawab mereka dalam melaksanakan proses demokrasi negara.

Kempen itu menyasarkan untuk mencapai peratusan keluar mengundi tidak kurang daripada 70 peratus atau 14.8 juta pengundi, peningkatan 2.5 juta pengundi berbanding PRU14.

"Sangat tidak mungkin kita akan mendapat peratusan keluar mengundi yang sama tinggi iaitu 80 peratus, kerana terdapat pertambahan pengundi baharu yang besar.

"Jika semua 12.3 juta yang mengundi pada PRU14 keluar, kadar keluar mengundi untuk PRU15 hanya 58 peratus. Rekod paling rendah.

"Jadi apa yang kita perlukan dalam pilihan raya ini ialah pengundi pertama kali keluar mengundi, sekurang-kurangnya 2.5 juta, sebelum kita boleh mencapai 70 peratus pengundi keluar. Itu cabaran pertama, untuk menambah bilangan pengundi," katanya kepada media pada majlis pelancaran kempen itu.

Selain itu, faktor musim tengkujuh dan kekecewaan rakyat terhadap perkembangan politik dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini juga, dijangka akan mengurangkan jumlah pengundi.


[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Hanya tinggal janji Ismail Sabri sebagai PM - Dr Mahathir

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!


Jelasnya, jumlah pengundi yang tinggi sangat penting kerana ia bukan sahaja memberi lebih makna terhadap proses demokrasi, tetapi juga menjadikan mandat yang diberikan kepada kerajaan terpilih lebih kukuh.

"Demokrasi hanya bermakna apabila terdapat penyertaan beramai-ramai rakyat. Kita sangat bernasib baik di negara ini kerana mempunyai peluang untuk mengundi, banyak negara tidak mempunyai peluang ini.

"Kita mempunyai peluang untuk mengambil bahagian dalam demokrasi menerusi proses pilihan raya, inilah prosesnya di mana kita boleh memilih kerajaan dan memberi mereka mandat untuk memimpin kita dan mentadbir dengan baik, sebelum kita memutuskan untuk meneruskan mandat itu atau menamatkannya.

"Jumlah pengundi yang tinggi juga akan memberikan kesahan tambahan kepada kerajaan yang dipilih kerana mereka tahu majoriti rakyat telah bersuara dan mereka telah memenangi majoriti untuk mentadbir," ujarnya.

Orang ramai diseru untuk sama-sama memeriahkan kempen VoteFuture dengan pelbagai medium media sosial, antaranya melalui perkongsian poster dan video pendek yang disertakan dengan tanda pagar #VoteFuture. Maklumat lanjut boleh didapati di semua platform media sosial Bersih.