SEREMBAN: Tanggapan yang menyatakan bahawa Tindakan Barisan Nasional (BN) menghantar bekas penyandang Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin bertanding di kerusi Sungai Buloh sebagai alasan untuk menamatkan riwayat politiknya adalah tidak benar.

Menurut Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, bahawa keputusan itu dibuat selepas memikirkan apa yang terbaik bagi Khairy.

“Tak betul cerita tu. Sungai Buloh sekarang pengundi Melayu hampir 75 peratus kerusi yang amat selamat. Dan dia punya ketua bahagian adalah Setiausaha Politik dia (Datuk Megat Firdouz Megat Junid). Orang di situ mengalu-alukan beliau.

“Lebih baik dia pergi ke sana daripada tempat-tempat yang tidak menerima dia. (Tohmahan) itu ada salah,” katanya pada siding media selepas hadir pada Majlis Penyerahan Watikah kepada calon-calon BN Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan, hari ini.

Tambahnya lagi pengundi di kawasan berkenaan juga ketika ini mahukan calon daripada UMNO untuk bertanding di sana.

Beliau juga yakin bahawa Khairy akan mencatatkan sesuatu yang positif dalam PRU15 kali ini sekalipun terpaksa ke kawasan baharu dan meninggalkan Rembau.

“Ia bagus bagi KJ (Khairy) untuk berada di sana, beliau mempunyai karier yang lebih jauh lagi dalam UMNO. Ia adalah kawasan dan Parlimen yang bagus untuk saudara KJ berada di sana," katanya lagi.

Dalam PRU15 kali ini menyaksikan Khairy meninggalkan kerusi yang disandangnya iaitu Rembau untuk memberikan laluan kepada ketuanya Datuk Seri Mohamad Hasan yang akan bertanding di kerusi berkenaan buat kali pertamanya.

Khairy pula terpaksa mempertaruhkan nasibnya di kerusi yang baharu iaitu Sungai Buloh yang menyaksikan kerusi berkenaan sebelum ini dimenangi oleh calon PKR R. Sivarasa dengan 43,631 undi.