BENTONG: Kos sara hidup yang semakin tinggi, kurang peluang pekerjaan di Bentong antara keluhan rakyat di daerah itu.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Astro AWANI mendekati pengundi di Parlimen itu bagi mendengar sendiri masalah dihadapi mereka.

Bagi Sham Mat Zaid, 42, isu kekurangan peluang pekerjaan menyebabkan ramai rakyat di daerah itu terpaksa merantau ke ibu negara sekaligus tenaga mahir semakin berkurangan.

"Peluang pekerjaan (diperbanyakkan) daripada sikit biarlah bertambah, supaya warga Pahang tidak pergi ke tempat lain," jelasnya.

Merumitkan lagi keadaan tambah Sham, apabila kos sara hidup yang semakin menekan rakyat menyebabkan rata-rata golongan muda terpaksa memilih untuk berhijrah demi mencari rezeki.

Sementara itu pandangan sama dikongiskan Nuramira Ramli, 34, selain peluang pekerjaan dan kos sara hidup, Bentong juga memerlukan perubahan dari sudut penambahbaikan infrastruktur setempat.

"Bagi saya penambahbaikan tempat di Bentong ini, contoh seperti majukan kawasan Bentong. Kena bina pusat membeli-belah untuk rakyat di sini.

"Kalau restoran makanan dah banyak di Bentong ini, cuma kita perlukan pusat membeli-belah selain pasar raya yang ada," katanya lagi.

Isu yang sama dibangkitkan buat Abdul Hadi Omar, 45, peniaga yang mahukan agar isu infrastruktur seperti parkir kenderaan dan kos sara hidup diberi perhatian kerajaan yang baharu diberi mandat nanti.

"Bentong ini tempat persinggahan, kita nak harap penduduk Bentong tak ramai sangat pun. Harga barang ini kita tak tahu bila turun dan naik.

"Saya setiap hari pergi ke pasar saya tahu, biasanya modal RM200 semalam untuk beli barang basah, hari ini tidak sama dah, mungkin kena tambah RM50 hingga RM100.

"Kita minta kerajaan yang akan dibentuk di peringkat pusat selepas 19 November depan agar melihat perkara ini. Harga tidak menentu memang terbeban hidup," katanya lagi.

Itu antara luahan penduduk di daerah Bentong, harapan mereka agar suara dapat didengari pemimpin yang bakal diberi mandat pada PRU15 ini.

Lebih banyak cerita dan isu rakyat akan dibawakan Astro AWANi dari semasa ke semasa di bumi Pahang ini.