BEAUFORT: Keperitan hidup penduduk di sekitar Lumadan, Sipitang yang dibelenggu masalah air bersih sejak puluhan tahun lalu dijangka diselesaikan melalui pembinaan tangki air di Kampung Bangkalalak.

Ia jaminan yang diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam terhadap isu yang membelenggu sekitar 200 penduduk di kawasan berkenaan.

Bercakap kepada Astro AWANI, Ruslan menambah, pembinaan tangki takungan air itu sedang di peringkat cadangan.

Menerusi pembinaan itu, bekalan air bersih akan disalurkan kepada sembilan buah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) termasuk di Kampung Jabang dan Kukup.

“Isu dibangkitkan di Kampung Jabang ini bukan satu isu yang baharu, memang betul batang paip sudahpun ditanam lebih 20 tahun  dan memang mereka tidak menikmati air bersih itu.

“Saya telah memperjuangkan dan  bawa jurutera Jabatan Air Beaufort untuk turun ke lapangan dan Insya-Allah penyambungan batang paip baharu akan lakukan sebaik sahaja belanjawan Sabah pada tahun ini dibentangkan dalam Sidang DUN pada 25 November hingga 1 Disember ini,” katanya di sini pada Khamis.

Semalam (26 September), Astro AWANI menyiarkan laporan keperitan hidup penduduk di tiga buah kampung di Lumadan, Sipitang yang sehingga kini belum menikmati bekalan air bersih.

Penduduk di Kampung Jabang, Kukup dan Mentulud mengakui perkara tersebut telah berlarutan lebih 20 tahun, memaksa mereka menadah air hujan dan sungai untuk mendapatkan bekalan air.

Sebelum cadangan pembinaan tangki takungan itu dilaksanakan, Ruslan berkata, pihaknya yakin dapat menggantikan batang paip yang tertanam puluhan tahun di Kampung Jabang dan Kukup.

Bagi Kampung Mentulud pula, beliau berkata kerja-kerja penukaran batang paip telah diselesaikan.

Begitupun, Jabatan Air Daerah Beaufort mengesan berlaku kebocoran menyebabkan air tidak dapat disalurkan.

“Saya telahpun menyatakan kepada pengerusi JPKK dan berusaha bulan ini atau awal bulan depan kerja-kerja berkenaan akan dilakukan untuk membaiki kebocoran.

“Sebaik sahaja pembaikan kebocoran batang paip itu siap, insya-Allah Kampung Mentulud meliputi tiga buah JPKK akan menikmati air bersih,” katanya lagi.

Beliau dalam masa yang sama berharap, pembentangan bajet kerajaan Negeri Sabah akan diluluskan bagi memastikan kerja-kerja menukar batang paip dapat dilaksanakan segera di Lumadan termasuk di 
Kampung Jabang; Kukup; Mentulud Laut; Indu Madi; Mukur Lago; serta Skim Gerama. 

Kampung Jabang, Kukup dan Mentulud terletak bawah DUN Lumadan di Parlimen Sipitang.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Ruslan menang dengan meraih 3,650 undi, menewaskan lapan lagi pencabarnya.


Sementara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi Parlimen Sipitang dimenangi Datuk Yamani Hafez Musa.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan memenangi kerusi itu atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 852 selepas memperoleh 12,038 undi.

Anak sulung kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman itu kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).