GOPENG: Perak bersedia mengikut jejak langkah beberapa negeri lain mengisytiharkan cuti umum pada 18 November ini bagi memudahkan rakyat pulang mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, perkara itu hanya dapat diputuskan selewat-selewatnya Isnin depan, setelah mendapat pandangan daripada Penasihat Undang-undang Negeri (LA).

"Ya, kita sedang mempertimbangkan (untuk beri cuti sehari awal sebelum tarikh mengundi), cuma kita sedang memastikan siapa orang yang berkelayakan untuk umumkan.

"Sebab berbeza dengan negeri Selangor, Menteri Besarnya, Dewan Undangan Negeri (DUN) belum bubar, di Perak ini adakah caretaker boleh mengumumkannya?

"Tetapi kecenderungan untuk kita memberi cuti untuk membolehkan orang ramai pulang ke kampung mengundi, kita boleh buat... cuma kita nak tengok siapa yang ada kelayakan untuk mengumumkannya, sama ada Setiausaha Kerajaan Negeri atau Menteri Besar," katanya.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Mujahid isytihar harta RM2.54 juta, miliki dua kondo

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita sama ada Perak akan mengumumkan cuti umum pada 18 November ini.

Saarani ditemui pemberita selepas merasmikan Himpunan Solidariti Barisan Nasional (BN) Gopeng @ Sungai Rapat di Bilik Gerakan DUN N44, Kampung Meranti Changkat Larang, di sini pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah mengisytihar cuti umum pada 18 November ini, bagi memudahkan pergerakan pengundi pulang ke negeri masing-masing untuk mengundi.