BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan akan meneliti semula paras harga pasaran getah yang ditetapkan bagi Insentif Pengeluaran Getah (IPG), sekiranya kembali menerajui kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri berkata beliau mengambil maklum banyak pihak yang memohon paras pasaran getah yang sebelum ini ditetapkan pada RM2.50 sekilogram menerusi IPG, ditingkatkan ke paras lebih tinggi.

"Datuk Seri Salim (Pengerusi Risda) pun ada bangkitkan dalam Parlimen, jumpa saya berkali-kali memohon supaya paras RM2.50 (sekilogram) ini dipertingkat, saya pun dah bincang dengan Menteri Kewangan.

"Kita akan lihat perkara ini insya-Allah kalau diberi peluang memerintah semula kita akan perhatikan perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Risda Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Ismail Sabri berkata kerajaan sedar betapa pentingnya sektor penanaman getah kepada peningkatan ekonomi negara dan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif dan bantuan bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Malah, beliau berkata tanaman getah merupakan satu-satunya komoditi yang masih diberi bantuan penuh oleh kerajaan.

Selain IPG, katanya kerajaan turut memperkenalkan Program Tanam Semula Getah dengan sasaran keluasan 20,000 hektar, yang kini melebihi 10,000 hektar dengan penyertaan sebanyak 7,180 pekebun kecil.

Sementara, bagi meningkatkan pendapatan menerusi produktiviti hasil getah, beliau berkata kerajaan memperkenalkan Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) melibatkan peruntukan RM31.1 juta bagi mencapai pengeluaran hasil sebanyak 1,800kg per hektar per tahun.

"Alhamdulillah, inisiatif tersebut telah dimanfaatkan oleh 29,205 pekebun kecil di seluruh negara termasuk 4,344 pekebun kecil di Pahang dan seramai 602 pekebun di Bera," katanya.

Risda juga, menurut beliau setakat ini berjaya melahirkan seramai 23,522 usahawan di seluruh negara melalui bantuan berjumlah RM56.3 juta.

"Justeru, peluang menjadi pekebun kecil Risda sentiasa terbuka luas setiap tahun kerana kerajaan melalui Risda menyediakan pelbagai inisiatif mempelbagaikan sumber pendapatan dan pembangunan modal insan untuk seisi keluarga pekebun kecil," katanya.

Mengenai Bantuan Musim Tengkujuh berjumlah RM191 juta yang diumumkan sebelum ini, Ismail Sabri berkata kesemua pekebun kecil bakal menerima bantuan RM600 yang disalurkan secara berperingkat iaitu RM300 pada bulan hadapan dan RM300 Disember ini.

Perdana Menteri berkata bantuan berkenaan turut diumumkan dalam Bajet 2023 akan ditambah sebanyak RM200 kepada RM800 dengan peruntukan sebanyak RM256 juta selama empat bulan kepada pekebun kecil Risda dan FELDA seramai 320,000 orang.

"Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan lebih besar kepada masyarakat pekebun kecil iaitu peningkatan sebanyak 18.1 peratus berjumlah RM600 juta berbanding RM508 juta yang disalurkan pada tahun ini.

"Peruntukan ini membuktikan bahawa kerajaan amat prihatin kepada pembangunan sektor komoditi getah yang diusahakan oleh pekebun kecil bagi mencapai sasaran pendapatan bulanan pekebun kecil kepada RM4,500 pada tahun 2025," katanya.

-- BERNAMA