KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan mempertahankan semua kerusi yang disandangnya selain bertanding di kerusi berpotensi tinggi untuk dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keputusan berkaitan pembahagian kerusi akan diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita tunggu pengumuman rasmi,” katanya memetik laporan sebuah portal pada Khamis.

Menurut laporan berkenaan, Wan Saiful berkata, persiapan dan koordinasi PRU15 antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat PN yang berlangsung dari jam 3 petang hingga 8 malam itu.

“Bincang juga calon dan kerusi yang akan ditandingi. Banyak perkara yang dapat diselesaikan malam ini," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin pula dilapor berkata, mesyuarat itu turut menetapkan semua jentera PN akan bergerak di bawah nama gabungan itu pada PRU nanti.

"PN akan mengadakan jelajah ke seluruh negara bagi mengulas isu semasa termasuk menganjurkan program gerai prihatin bagi meringankan beban rakyat berdepan kos sara hidup tinggi," katanya.

Bekas Perdana Menteri itu turut memberi bayangan Pas akan terus bersama gabungan itu bagi menghadapi PRU15.

“Insya-ALLAH, istiqamah kita kata,” jawabnya ringkas.

Selain itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan keyakinan bahawa parti itu akan terus bersama PN.

“Jadi, saya fikir tak ada isu. Bukan sekadar dalam konteks PRU, tetapi kerangka lebih besar daripada PRU.

"Mana-mana kita boleh pakat dalam politik. Bagi saya, dalam politik ni, kurangkan musuh ramaikan kawan. Itu asas,” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Pas akan buat keputusan muktamad berhubung keterbukaan UMNO untuk memulihkan Muafakat Nasional (MN) sebelum hujung minggu ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu mengambil sikap mengkaji secara mendalam kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai perkara tersebut. - Sinar Harian