BERA: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di seluruh negara berjalan lancar.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengikut laporan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, tiada insiden tidak diingini berlaku.

"Proses penamaan calon di Bera berjalan lancar dan sempurna, begitu juga saya dapat laporan daripada Ketua Polis Negara bahawa perkara sama di seluruh negara.

"Tiada insiden tercetus terutama melibatkan kekecohan di pusat penamaan calon, keadaan tenang dan proses sempurna di seluruh negara," jelasnya.

Tambah Ismail Sabri, seramai 36,935 pegawai dan anggota terlibat dalam memastikan kawalan keselamatan di setiap pusat penamaan calon dalam keadaan terbaik.

"Terima kasih dan tahniah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berjaya menyelesaikan proses penamaan begitu juga Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas proses penamaan calon di Parlimen Bera pada Sabtu.

Terdahulu, Ismail Sabri antara calon yang disahkan secara rasmi bertanding bagi kerusi P.090 Parlimen Bera, berdepan dua saingannya daripada parti Pakatan Harapan (PH), Abas Awang dan Perikatan Nasional (PN), Datuk Asmawi Harun.