KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berlaku di kebanyakan tempat di pedalaman dan barat Semenanjung, Sarawak serta barat Sabah bermula 13 hingga 19 November, iaitu hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Berdasarkan analisis model-model cuaca, MetMalaysia menjangkakan fenomena cuaca itu berlaku pada sebelah petang hingga malam sepanjang tempoh tersebut.

Pada Jumaat, pakar meteorologi Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, tempoh tiga hari mulai Sabtu hingga Isnin amat penting bagi meramalkan keadaan cuaca semasa hari pengundian PRU15.

“Luruan angin timuran masih ada, tetapi yang menarik ialah terdapat tekanan rendah di bahagian selatan negara iaitu berhampiran Johor. Ini menunjukkan negara kita mempunyai semua elemen yang merangsangkan hujan,” katanya dalam program Malaysia Memilih, pada Sabtu. 

ANDA INGIN TAHU SUHU DI KAWASAN ANDA HARI INI? KLIK PAUTAN INI 


Terdahulu, MetMalaysia meramalkan Monsun Timur Laut mula melanda negara pada pertengahan November dan berterusan sehingga Mac depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai hak menangguhkan PRU15 jika banjir besar berlaku dan perbincangan lanjut akan dibuat sekiranya keadaan mendesak.

Bagaimanapun, ujarnya, persediaan telah dilakukan lebih awal melibatkan semua agensi sebelum pembubaran Parlimen.