BANGI: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipercayai akan bertemu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim namun kesahihannya masih belum dapat dipastikan.

Tujuan perjumpaan berkenaan juga masih belum dapat dipastikan sama ada berkaitan dengan rundingan gabungan untuk membentuk kerajaan atau sebaliknya.

Pengamal media mula berkumpul di sekitar kediaman Anwar di Sungai Long sejak jam 5 petang bagi mengikuti rapat perkembangan sekiranya ada pergerakan keluar masuk Ahmad Zahid atau pemimpin politik lain.

Namun setakat jam 7.30 petang ini, tiada pergerakan mana-mana pihak dan tidak dapat dipastikan juga sama ada Anwar berada di kediamannya ini ataupun tidak.

IKUTI PAUTAN INI: KEPUTUSAN PENUH PRU15

Tumpuan pada ketika ini pastinya ke arah rundingan parti-parti politik untuk bergabung bagi membentuk kerajaan susulan keadaan Parlimen tergantung di mana tiada pihak yang mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

PH semalam memaklumkan mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan, namun keputusan PRU15, PH hanya memenangi 82 kerusi Parlimen.

Perikatan Nasional (PN) pula disahkan menang 73 kerusi dan kini berunding bersama gabungan dari Sabah dan Sarawak serta mengalu-alukan parti lain untuk bersama membentuk kerajaan kecuali PH.

BN pula menang di 30 kerusi Parlimen namun perlu bergabung dengan mana-mana gabungan lain sekiranya ingin berada dalam kerajaan.