KUALA LUMPUR: Tewas tipis sekali pun, tewas tetap tewas.

Khairy Jamaluddin yang dilihat sebagai berprofil tinggi mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengambil sikap berjiwa besar menerima kekalahannya di kerusi Parlimen Sungai Buloh semalam.

Bagi Menteri Kesihatan itu, kalah di gelanggang pilihan raya merupakan hakikat yang perlu dilalui oleh ahli politik setiap lima tahun sekali.

Di PRU, kata beliau, setiap seseorang pemimpin itu dinilai oleh rakyat sama ada mereka cukup baik atau tidak.

"Pilihan raya adalah asas kepada mana-mana demokrasi yang berfungsi tetapi ia juga sesuatu yang memberitahu ahli politik sama ada mereka cukup baik atau sebaliknya. Jika rakyat sukakan anda atau tidak.

"Saya rasa saya telah mencuba yang terbaik. Tetapi saya tidak cukup baik. Tewas tetap tewas, tidak kira seberapa seberapa kecil pun jumlah atau berapa ramai yang menyatakan kekecewaan atas kekalahan anda," kata Khairy dalam hantaran di akaun media sosial, hari ini.

Biarpun yakin kekalahan itu bukanlah penamat cerita dan perjuangannya dalam politik, namun Khairy memaklumkan mahu mengambil sedikit masa untuk merangka perancangan seterusnya.

Apatah lagi, beliau sudah bekerja keras sepanjang tempoh menjadi jeneral' 'dalam pertarungan negara dengan pandemik COVID-19.

"Sebenarnya, saya letih. Saya tidak mempunyai masa untuk berehat, sejak saya diminta menguruskan "pandemik. Dua tahun yang sukar untuk saya mengemudi negara keluar daripada COVID.

"Tetapi ia adalah satu penghormatan untuk berkhidmat kepada negara pada masa yang kritikal dan saya gembira kita berjaya pulih," katanya lagi.

Beliau juga mengirim pesanan agar mereka yang dilantik memegang mandat rakyat, menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh tanggungjawab, kebijaksanaan dan belas kasihan.

"Negara memerlukan kestabilan dan kepimpinan lebih daripada sebelumnya. Saya doakan anda semua yang terbaik.

"Saya tidak sabar menantikan Piala Dunia di televisyen," tulisnya.

Dalam PRU15 semalam, Khairy, calon BN di Sungai Buloh, tewas kepada Datuk R. Ramanan dari Pakatan Harapan, yang menang di kerusi itu dengan majoriti 2,693 undi.