MUAR: Isu Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang tergendala perlu mendapat penyelesaian secepat mungkin.

Menurut Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, masalah seumpama itu tidak wajar dilengahkan kerajaan berikutan ia membawa impak terhadap rakyat.

"Saya tak perlu nak ajar tentang masalah itu. Saya baca berita itu cukup menyedihkan kerana beberapa hari LRT tidak bergerak menyebabkan banyak tren tidak dapat digunakan dan banyak masalah berlaku.

"Walaupun ketika ini negara dipimpin oleh kerajaan sementara, tanggungjawab itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

"Ia perlu mengambil kira apa punca ia berlaku dan berapa cepat boleh ditangani bagi menyelesaikan masalah pengangkutan berkenaan," katanya.

Muhyiddin berkata demikian sewaktu program Sembang Santai Bersama Penduduk di Kampung Panjang Sari pada Rabu.

LRT Tergendala | Wanita dirompak di luar stesen LRT Sri Rampai

Mengulas lanjut, permasalahan itu juga mengakibatkan ramai pengguna terkesan khususnya di kawasan Lembah Klang.

"Sepatutnya sudah ada perancangan awal kalau berlaku hal seperti ini. Kena buat dengan cepat sebab sebelum ini pun dah ada insiden rempuhan LRT," katanya lagi.

Meskipun insiden berkenaan tidak membabitkan nyawa namun isu seperti kelewatan tidak wajar berlaku.

LRT laluan Kelana Jaya pada Selasa mengalami gangguan teknikal susulan perkhidmatan antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen Ampang Park diberhentikan.

Dalam pada itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan LRT, Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel menyatakan tindakan itu dibuat atas tujuan keselamatan.

Insiden itu juga antara lain menyebabkan masalah yang bermula sejak 3.03 petang itu digantung operasi selama tujuh hari bermula Rabu.

Sementara itu, Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan, penggantungan operasi membabitkan 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park.

Ia membabitkan Stesen LRT Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asian Jaya,Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum dan KL Sentral.

Selain itu, Stesen LRT Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.