Sebaliknya, tegas Anwar, tindakan yang paling wajar ialah untuk membenarkan siasatan dilakukan terhadap harta Pengerusi Perikatan Nasional itu.
Presiden PKR itu berkata, dakwaan berhubung wujud penyalahgunaan kuasa dan wang kerajaan ketika negara di bawah Proklamasi Darurat juga tidak boleh selesai dengan hanya sekadar bersumpah.
“Hari ini Muhyiddin kata dia sumpah tidak ambil duit kerajaan. Muhyiddin… soal negara, tata kelola, pentadbiran, sumpah tidak makan (tidak memadai), kena siasat berapa harta kamu ada.
“Ini (ambil) senang, semua sikit-sikit sumpah. Mana boleh!” ujarnya lagi ketika berucap di Program Ramah Mesra bersama pengundi di Subang Perdana, dekat sini, hari ini.
Anwar yang juga calon PH untuk Parlimen Tambun turun ke Sungai Buloh bagi membantu calon parti itu, Datuk R Ramanan yang akan mempertahan kawasan yang dipegang Sivarasa Rasiah selama tiga penggal itu.
Media hari ini melaporkan komitmen PH untuk diadakan siasatan terperinci terhadap Muhyiddin, yang didakwa membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik COVID-19, dua tahun lalu.
Dalam reaksinya, Muhyiddin bersumpah dengan nama Allah bahawa beliau tidak menyalahgunakan walau satu sen wang kerajaan semasa pentadbirannya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau tidak kisah dengan kenyataan seteru politiknya termasuk dari Muhyiddin sendirim bahawa beliau hanya sekadar ‘PM tepi’.
“Kamu kata aku ‘PM tepi’. Kamu tahu tak aku sudah jadi PM kalau aku khianat, sepertimana Bersatu? Kamu tahu aku boleh jadi PM kalau aku tulis surat (sokongan) untuk lepaskan Datuk Seri Najib?
“Tapi aku beza dengan kamu, aku tak sanggup jadi Perdana Menteri dengan perbuatan khianat. Lebih baik jadi ‘PM tepi’ daripada jadi PM yang hanya tahu sakau duit rakyat,” katanya di hadapan kira-kira 1,000 orang di program itu.