JOHOR BAHRU: Baru sahaja selesai menjalani pembedahan akibat komplikasi kencing manis tidak menjadi penghalang buat seorang anggota FRU untuk menunaikan tanggungjawab mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Kamsan Syaib yang berusia 58 tahun tiba di pusat mengundi Dewan Dato Onn IPK Johor seawal jam 7.30 pagi.

"Saya belum pernah lagi ketinggalan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi dan bersyukur masih berpeluang sekali lagi walaupun dalam keadaan kurang sihat.

"Saya rasa penting untuk setiap rakyat Malaysia untuk tidak memandang ringan kewajipan ini .. kadang-kadang rasa terkilan dan sedih juga bila ada individu terutama golongan muda yang enggan mengundi walaupun tidak ada halangan, " katanya ketika ditemui di IPK Johor pada Selasa.

Kamsun merupakan anggota PDRM yang telah berkhidmat selama 34 tahun.

Terdahulu, beliau hadir diiringi isteri selain turut mendapat bantuan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau juga merupakan antara anggota keselamatan terawal mengundi di IPK Johor hari ini.