KUALA LUMPUR: Umat Islam-Melayu wajib menunaikan tanggungjawab bernegara (Fikh al-Daulah) dengan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Itu antara 14 ketetapan di dalam Deklarasi Kuala Lumpur oleh Muzakarah Cendekiawan, Pemuka Melayu dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam yang bersidang pada Sabtu.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa umat Islam dirayu mengundi calon yang mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara bercirikan integriti iaitu bersih daripada rasuah.

Mereka juga perlu memilih calon yang berkemampuan, amanah, mempertahan dan memperjuangkan nasib anak bangsa, serta menolak calon yang memberi mudarat.

Selain itu, resolusi itu turut menggesa kerajaan yang bakal dilantik memperkasa agenda penyatuan ummah dan perpaduan Melayu Islam, serta memelihara kedaulatan dan kesucian Islam.

Muzakarah itu juga menuntut penubuhan Sekretariat Tetap Pemikir Melayu-Islam yang berfungsi sebagai perunding, pemantau dan pengkritik bagi membantu kerajaan.


Berikut ialah kenyataan penuh 14 resolusi Deklarasi Kuala Lumpur:

1. Umat Islam-Melayu wajib menunaikan tanggungjawab bernegara (Fikh al-Daulah) dengan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 pada 19 November 2022 nanti.
 
2.Seluruh umat Islam dirayu untuk mengundi calon yang mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara, bercirikan integriti (bersih daripada rasuah), berkemampuan, amanah, mempertahan dan memperjuangkan nasib anak bangsa serta menolak calon yang memberi mudarat kepada tiga perkara asas di atas.
 
3. Kerajaan, pemimpin Muslim dan rakyat Malaysia perlu berusaha untuk memperkasa agenda penyatuan ummah, semangat patriotisme serta perpaduan Melayu Islam demi kekuatan politik, ekonomi dan pembangunan negara.
 
4. Kerajaan perlu mengukuhkan Sumpah Rabbani YDPA dan menolak usaha pihak-pihak tertentu mengabsahkan Doktrin Kerangka Asas (BSD) yang memberi kuasa kepada hakim-hakim untuk meminda Perlembagaan dengan memutuskan bahawa Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk meminda mana-mana bahagian Perlembagaan serta menjadikan undang-undang Islam sebagai kelas kedua.
 
5. Pihak kerajaan dan berkuasa agama negeri wajib memelihara kedaulatan dan kesucian Islam sebagai agama majoriti negara ini serta institusi Raja dan ajaran Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah daripada dihina dan diganggu-gugat oleh individu, kumpulan dan institusi yang biadap serta memberi ruang seluas-luasnya kepada pihak pendakwah dan guru agama dalam usaha dakwah di pelbagai institusi agama dan media.
 
6. Pihak kerajaan wajib menjadikan ekonomi Bumiputera sebagai pelaksanaan manifesto dengan mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Pribumi bagi melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan memperkasa sistem Ekonomi Islam, merapatkan jurang telekomunikasi di desa, selain memaksimumkan sumber tenaga dan komuniti niaga Melayu.

7. Mendesak kerajaan baharu selepas PRU15 segera keluar daripada perjanjian CPTTP kerana Ancaman CPTTP yang ditandatangani akan berkuat kuasa pada 29 Nov 2022.
 
8. Pihak kerajaan perlu fokus memperkasa Bahasa Melayu dalam pendidikan serta meningkatkan kualiti pendidikan dengan kurikulum yang fleksibel dan program pemulihan menangani ‘Lost Generation’, menambah baik fasiliti digital pendidikan dan TVET 4.0 serta memartabatkan profesionalisme keguruan dari aspek keringanan beban tugas, peluang kerjaya, geran penyelidikan dan perjawatan tetap guru KAFA.
 
9. Pihak kerajaan perlu memperkasakan pendidikan tinggi melalui penekanan survival Melayu-Islam dalam pelan penggantian kepimpinan tertinggi, kenaikan pangkat seimbang bagi bukan S&T, pembelajaran secara dalam talian, penguasaan Bahasa Inggeris, mengoptimum aset wakaf dan kesukarelawanan, selain melibatkan profesional Melayu-Islam dalam proses pembuatan polisi negara.
 
10. Pihak kerajaan persekutuan dan negeri wajib membantu dana peruntukan berkapita tahunan dan keperluan semasa sekolah-sekolah agama rendah, menengah agama rakyat, sistem pondok dan madrasah serta pusat-pusat tahfiz termasuklah pembinaan, menaik taraf dan penyelenggaraan infastuktur fizikal sekolah, kebajikan pelajar dan guru agama.
 
11. Pihak kerajaan khasnya Kementerian Pengajian Tinggi perlu mengembalikan semula Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai Mata Pelajaran Umum (MPU) yang wajib diambil di IPT/universiti seperti diamalkan sejak 80-an serta hasrat terkandung dalam Rukun Negara, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.
 
12. Pihak kerajaan perlu memberi perhatian dan bantuan kewangan kepada NGO-NGO dalam gerak kerja membantu kesejahteraan rakyat serta mengiktiraf keberadaan NGO sebagai pendamai yang mengharmonikan suhu politik negara, selain membantu kebajikan rakyat serta memajukan ekonomi dan bidang keusahawanan mereka.
 
13. Pihak kerajaan perlu memberi perhatian kepada program-program pembangunan wanita, keluarga dan anak muda, terutama dalam dunia langit terbuka, selain bertindak mengekang penularan pemahaman plural, liberal, budaya songsang LGBT dan penyalahgunaan dadah yang boleh merosakkan akidah, hubungan sosial dan hidup bermasyarakat.
 
14. Muzakarah ini dijadikan suatu Sekretariat Tetap Pemikir Melayu-Islam yang berfungsi sebagai badan perunding, pemantau dan pengkritik bagi membantu kerajaan melaksanakan agenda utama selaras dengan prinsip utama perlembagaan negara dan undang-undang kerajaan negeri, seterusnya diterima oleh pihak kerajaan sebagai badan berautoriti.
 
15. Pihak yang berjaya mendirikan kerajaan selepas PRU15 wajib memastikan 14 resolusi yang telah dibentang dan diputuskan pada hari ini menjadi pancang-pancang utama yang perlu diperkasa serta dilaksanakan dalam polisi dan dasar kerajaan yang baharu.
 

Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)
Sekretariat Muzakarah Cendekiawan, Pemuka Melayu dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam
12 November 2022