TASEK GELUGOR: UMNO yakin mampu merampas semula kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Menurut Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, parti itu akan berusaha bagi memastikan kerusi berkenaan menjadi milik UMNO semula.

"Saya lebih yakin sebab kerusi ini dulu dimenangi oleh UMNO, bukan oleh Bersatu tetapi bekas ahli Parlimen UMNO melompat ke sana, jadi bukan kerusi Bersatu ini kerusi UMNO.

"Saya harap dia faham dari segi waktu tsunami pun kerusi Tasek Gelugor masih dimenangi. Oleh itu sekarang saya rasa lebih yakin lah dari Tan Sri Muhyiddin dan kerusi Tasek Gelugor ini akan dimenangi semula oleh BN," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di Pusat Komersial Tasek Gelugor, hari ini.

Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI!

Jelasnya, keyakinan UMNO merampas semula kerusi Tasek Gelugor didorong dengan sambutan ramai dan semangat tinggi yang ditunjukkan penduduk terhadap program yang diadakan.

Pada PRU-14 lalu, kerusi Parlimen Tasek Gelugor dimenangi calon UMNO, Datuk Shabudin Yahaya dengan majoriti tipis sebanyak 81 undi.

Bagaimanapun, Shabudin yang menjadi Ahli Parlimen Tasek Gelugor selama dua penggal sejak PRU13 atas tiket UMNO, mengumumkan keluar daripada parti itu pada 14 Disember 2018 sebelum menyertai Bersatu pada 2019.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kepimpinan tertinggi UMNO telah menerima lebih dari satu senarai nama calon bagi bertanding di kerusi Parlimen Tasek Gelugor.

"Pengerusi Perhubungan yang akan bentang kepada top 5 dan top 5 akan buat penilaian dan saya rasa itu (nama calon) adalah rahsia yang tak boleh saya cakap pasal perjumpaan itu antara top 5 dengan Pengerusi Perhubungan, dia cadangkan bukan satu nama banyak nama, macam-macam, lebih dari satu," katanya lagi.