Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, dan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan berhubung langkah pembayaran semula pinjaman secara berjadual seperti diumum pada Rabu.

Presiden PKR itu berkata, beliau berharap pertemuan itu akan diadakan pada kadar segera memandangkan beliau menerima banyak aduan daripada pengundi Port Dickson dan Permatang Pauh berhubung perkara tersebut.

"Saya akan beri nota segera kepada mereka. Saya juga akan minta perdana menteri kaji, jika ada pandangan yang boleh membantu, saya pasti Wan Saiful dan Maszlee akan teliti semula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di Lobi Parlimen pada Khamis, mengulas pengumuman Wan Saiful mengenai skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) yang akan mula dilaksanakan pada Januari 2019.

Menurut Wan Saiful, bayaran melalui PGB itu akan dikenakan serendah RM40 sebulan terhadap peminjam PTPTN dengan gaji minima RM2,000 sebulan.

BACA: PTPTN: Apabila dah tandatangan, peminjam dah setuju bayar - Wan Saiful

Pengumuman itu menerima kritikan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan sendiri.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia meminta PTPTN menangguhkan pelaksanaan potongan gaji tersebut manakala Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata akan membawa isu itu dalam mesyuarat jemaah menteri pada Jumaat.