Puisi medium eratkan hubungan kaum, bangsa dan agama - Saraswathy

Saraswathy (tiga, kiri) menyampaikan Piala Anugerah Platinum kepada peserta Terengganu, Nor Atiekah Hidayah Hussain (tiga, kanan) pada Majlis SDPAHM Peringkat Kebangsaan 2025 di Ipoh malam tadi. --fotoBERNAMA
IPOH: Puisi mampu mengeratkan hubungan antara rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama di negara ini, selain menjadi medium menyampaikan pemikiran masyarakat, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy.
Ringkasan AI
- Puisi berperanan mengeratkan perpaduan rakyat berbilang kaum serta menyemai semangat kenegaraan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
- Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia 2025 dianjurkan sebagai usaha menarik minat masyarakat, terutama golongan muda, untuk mendekati dunia puisi dan warisan bangsa.
- Kementerian Perpaduan Negara menyokong penganjuran program seni, sastera dan budaya kerana ia mampu memupuk nilai positif, patriotisme dan kecintaan terhadap warisan negara.
"Melalui persembahan puisi, kita boleh mengimbas semula sejarah serta membawa fakta kepada generasi muda supaya mereka memahami titik peluh nenek moyang kita, sekali gus menyemai semangat kenegaraan.
"Kalau kita dapat menanam semangat kenegaraan dalam hati setiap rakyat, khususnya generasi muda, ia akan mengukuhkan perpaduan antara satu sama lain," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) Peringkat Kebangsaan 2025 di sini malam tadi.
Mengulas mengenai program itu, Saraswathy berkata penganjuran sayembara puisi artistik merupakan satu reformasi dalam bidang deklamasi puisi yang dapat menarik lebih ramai anggota masyarakat, khususnya golongan muda, untuk mendekati dunia puisi.
Saraswathy berkata usaha menarik minat golongan muda terhadap puisi perlu dikaji dan dilaksanakan dengan serius.
"Dengan adanya pendedahan ini, diharapkan mereka yang masih hijau dalam kehidupan akan menumbuhkan minat terhadap bidang sastera, warisan bangsa kita. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta," katanya.
Selain itu, beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara sentiasa mengalu-alukan serta bersedia bekerjasama menganjurkan program seni sastera dan budaya warisan bangsa kerana penganjuran sebegitu berupaya melahirkan nilai positif, semangat patriotik serta kecintaan terhadap warisan bangsa dan negara.
"Nilai sopan santun dan budi bahasa dalam puisi serta seni budaya bangsa akan menguatkan jati diri, sekali gus mempertahankan nilai-nilai luhur dan keharmonian dalam masyarakat Malaysia MADANI," katanya.
SDPAHM Peringkat Kebangsaan 2025 dianjurkan Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.
Pada majlis itu, Nor Atiekah Hidayah Hussain dari Terengganu muncul pemenang Anugerah Platinum dengan membawa pulang piala pusingan Piala Seri PEMUISI Malaysia, piala iringan, wang tunai RM2,000, hadiah buku serta sijil.
Akilul Nazar Arbain dari Johor pula memenangi Anugerah Emas dengan membawa pulang piala iringan, wang tunai RM1,500, hadiah buku serta sijil, manakala Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman dari Negeri Sembilan meraih Anugerah Perak dengan membawa pulang piala iringan, wang tunai RM1,000, hadiah buku serta sijil.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


