Skip to main content

Dunia

Pihak berkuasa New York larang ejen ICE pakai pelitup muka - Laporan

A Border Patrol agent stands guard as people gather outside the U.S. Immigration and Customs Enforcement (ICE) facility, in Portland, Oregon, March 28, 2026. REUTERS/John Rudoff/File Photo
ICE kebelakangan ini menjadi tumpuan di AS susulan beberapa skandal berkaitan tindakan ejennya semasa serbuan anti-imigran. - Gambar hiasan/REUTERS

WASHINGTON: Pihak berkuasa negeri New York meluluskan undang-undang yang melarang ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) memakai pelitup muka serta melarang pegawai negeri dan tempatan bekerjasama secara rasmi atau tidak rasmi dengan agensi itu, menurut laporan The New York Times, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pada Khamis, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS) Markwayne Mullin berkata ejen ICE sedang menuju ke New York untuk menyasarkan penjenayah.

Langkah itu dilaporkan sebahagian daripada pakej yang dimasukkan dalam perjanjian belanjawan negeri yang diumumkan pada Khamis.

Selain itu, ejen ICE juga tidak dibenarkan menempatkan tahanan di penjara tempatan atau menjalankan pemeriksaan di rumah penduduk negeri, hospital, gereja dan sekolah tanpa waran mahkamah, menurut laporan itu pada Khamis.

Undang-undang serupa yang melarang ejen ICE menutup wajah semasa operasi diluluskan di California pada 2025, namun mahkamah persekutuan memutuskan ia bersifat diskriminasi kerana larangan itu hanya terpakai kepada kakitangan persekutuan, menurut The New York Times. 

Ahli legislatif menjangkakan versi diperluaskan di New York yang turut melibatkan pegawai lain akan meningkatkan peluang undang-undang itu bertahan daripada cabaran perundangan.

ICE kebelakangan ini menjadi tumpuan di AS susulan beberapa skandal berkaitan tindakan ejennya semasa serbuan anti-imigran. 

Parti Republikan menuduh pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasaan sengaja enggan bekerjasama dalam serbuan itu serta mencetuskan ketegangan dalam kalangan penduduk.

Susulan perkembangan itu, Pemangku Pengarah ICE Todd Lyons mengumumkan hasratnya untuk meletakkan jawatan pada akhir Mei.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

 

 

Must Watch Video