Skip to main content

Malaysia

Rafizi sambung rakaman keterangan di SPRM esok

Putrajaya , 4 Mei 2026. Bekas Menteri Ekonomi , Rafizi Ramli hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam keterangan berhubung siasatan kes alah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM 1.1 billion melibatkan perjanjian kerjasama stratergik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dan Syarikat ARM Limited dari United Kingdom.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Rafizi berkata beliau diarahkan hadir pada 10 pagi bagi meneruskan proses siasatan yang disifatkan berjalan seperti biasa. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, akan kembali ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok bagi menyambung rakaman keterangan berhubung siasatan kes pelaburan bernilai RM1.1 bilion.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata beliau diarahkan hadir pada 10 pagi bagi meneruskan proses siasatan yang disifatkan berjalan seperti biasa.

Advertisement

“Proses siasatan seperti biasa, mereka tanya dan saya jawab. Setakat ini semuanya berjalan lancar, cuma mengambil masa yang panjang,” katanya kepada pemberita di pekarangan ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Beliau berkata sesi rakaman keterangan hari ini bermula pada 10 pagi dan berakhir kira-kira 6.40 petang selepas hampir sembilan jam.

Rafizi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai butiran atau fokus siasatan kerana perkara itu masih dalam proses.

“Saya tidak boleh ulas mengenai sudut siasatan yang spesifik,” katanya.

Beliau turut memaklumkan tidak menolak kemungkinan akan dipanggil semula untuk beberapa hari lagi bergantung kepada perkembangan siasatan serta jumlah soalan yang perlu dijawab.

Terdahulu, Rafizi hadir bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan membabitkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dan Arm Holdings dari United Kingdom.

Sabtu lepas, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar mengesahkan Rafizi akan dipanggil bagi dirakam keterangan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna jawatan atau kedudukan untuk suapan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar dalam kenyataan berasingan berkata kehadiran Rafizi adalah bertujuan memberikan kerjasama kepada SPRM dalam melengkapkan siasatan yang dijalankan.

-- BERNAMA

Must Watch Video