TOKYO: Populasi kanak-kanak di Jepun dianggarkan menyusut kepada 13.29 juta setakat 1 April, menurun sebanyak 350,000 berbanding tahun sebelumnya dan mencatat rekod terendah baharu, menurut kerajaan pada Isnin, lapor Kyodo News.
Nisbah kanak-kanak berumur bawah 15 tahun turut merosot sebanyak 0.3 mata peratusan kepada 10.8 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk, juga yang terendah sejak data setanding mula direkodkan pada 1950, menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi menjelang cuti kebangsaan Hari Kanak-kanak pada Selasa.
Advertisement
Angka itu termasuk penduduk asing, dikira berdasarkan anggaran populasi yang berpandukan bancian negara yang dijalankan setiap lima tahun.
Walaupun Kerajaan Jepun memberi keutamaan kepada langkah menangani kadar kelahiran yang menurun dan menetapkan tempoh hingga 2030 sebagai “peluang terakhir untuk membalikkan trend”, penurunan itu berterusan selama 45 tahun walaupun pelbagai langkah diambil, termasuk memperluas sokongan kewangan kepada isi rumah yang membesarkan anak.
Mengikut jantina, terdapat 6.81 juta kanak-kanak lelaki dan 6.48 juta kanak-kanak perempuan, menurut data itu.
Mengikut umur, seramai 3.09 juta kanak-kanak berusia 12 hingga 14 tahun, manakala hanya 2.13 juta berusia sifar hingga 2 tahun, menunjukkan trend kelahiran yang semakin berkurangan.
Jumlah kelahiran di Jepun, termasuk warga asing, pada 2025 turut mencatat rekod terendah sebanyak 705,809, menurun untuk tahun ke-10 berturut-turut, menurut data awal Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan.
Populasi kanak-kanak Jepun juga menurun sejak 1982 selepas mencapai kemuncak pada 1954 dengan 29.89 juta, manakala ledakan kelahiran kedua berlaku antara 1971 hingga 1974.
Nisbah kanak-kanak juga menurun untuk tahun ke-52 berturut-turut sejak 1975.
Menurut tinjauan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijalankan pada tempoh berbeza, Jepun mempunyai nisbah kanak-kanak kedua terendah dalam kalangan 38 negara dengan populasi sekurang-kurangnya 40 juta, dengan Korea Selatan mencatat yang terendah iaitu 10.2 peratus.
-- BERNAMA-KYODO