ISTANBUL: Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran pada Isnin memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang melanggar protokol transit yang ditetapkan oleh Tehran di Selat Hormuz "akan dihentikan secara paksa."
"Sebarang aktiviti maritim yang tidak mematuhi prinsip yang diumumkan oleh Tentera Laut IRGC akan berhadapan dengan risiko serius, manakala kapal yang melanggar peraturan akan dihentikan secara paksa," kata jurucakap IRGC Sardar Mohebbi dalam satu kenyataan yang dipetik oleh agensi berita separa rasmi Fars, lapor Anadolu Ajansi.
Advertisement
Menurut Mohebbi, "tiada perubahan" dalam pengurusan laluan air berkenaan setakat ini.
"Sebarang pergerakan kapal awam dan komersial yang mematuhi protokol transit yang dikeluarkan oleh Tentera Laut IRGC serta mengikut laluan yang ditetapkan dengan penyelarasan akan berada dalam keadaan selamat dan terjamin," katanya.
Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb, yang mencetuskan tindak balas daripada Tehran terhadap Israel serta sekutu AS di Teluk, selain penutupan Selat Hormuz.
Sejak 13 April, AS telah menguatkuasakan sekatan tentera laut yang menyasarkan trafik maritim Iran di laluan strategik berkenaan.
Gencatan senjata selama dua minggu telah diumumkan pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan, diikuti dengan rundingan terus di Islamabad pada 11 April, namun tiada persetujuan dicapai mengenai gencatan senjata yang berterusan.
Presiden AS Donald Trump kemudiannya melanjutkan tempoh gencatan senjata tanpa menetapkan tarikh akhir baharu susulan permintaan daripada pihak Pakistan.
-- BERNAMA-ANADOLU