KAJANG: Seorang lelaki maut dibelasah sekumpulan individu susulan satu kemalangan dipercayai membabitkan seorang penghantar makanan di Kajang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima aduan mengenai satu kemalangan maut di Taman Pelangi Semenyih 2, kira-kira jam 9.20 malam, Selasa.

Menurut beliau, sebuah kereta Proton Saga terbabas setelah melanggar pagar kawasan perumahan tersebut manakala pemandu kenderaan itu terbaring di atas jalan dengan kedua-dua tangannya diikat.

"Berdasarkan keterangan saksi, mangsa yang berusia 42 tahun itu dipercayai ditarik keluar dari kenderaannya, kedua-dua tangannya diikat dan dipukul sekumpulan individu sebelum beredar," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Tambah Mohd Zaid, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian turut mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

"Pasukan Forensik Bukit Aman mengambil beberapa sampel swabbing darah termasuk kesan cap jari, dua utas gumpalan tali warna hijau dan coklat di lokasi kejadian bagi membantu siasatan," katanya lagi.

Bertindak atas maklumat itu, polis menahan lima lelaki tempatan berusia 22 hingga 52 tahun dalam beberapa serbuan di sekitar Semenyih dan Beranang, di sini, kira-kira jam 2.05 pagi Rabu.

Kesemua mereka ditahan reman lima hari hingga Ahad ini.

Menurut Mohd Zaid, kes disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat  Asisten Superitendan Redzuan Mat Salleh di talian 013-7854100 dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang, Selangor, Inspektor Ammar Tahir dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di talian 018-2194013 atau mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.