GEORGE TOWN: Pulau Pinang yang dijadualkan menerima tambahan 368,550 dos vaksin jenis Pfizer-BioNtech bulan ini, berharap permasalahan mengenai kekurangan bekalan vaksin di negeri itu tidak berulang.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam kenyataan hari ini berkata mengikut pecahan penghantaran sebanyak 87,750 dos dijadualkan pada 1 hingga 8 Ogos, seterusnya 58,500 dos (9 -15 Ogos), 93,600 dos (16-22 Ogos) dan 128,700 dos (23-31 Ogos).

Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius permasalahan mengenai kekurangan bekalan vaksin di negeri itu dan meminta Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan situasi sama tidak berulang.

"Pengagihan serta penghantaran vaksin perlu seimbang supaya tidak menimbulkan sebarang kesulitan sehingga menyebabkan beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) awam terpaksa ditutup sehari pada semalam, berikutan kekurangan bekalan vaksin jenis Pfizer-BioNTech seperti yang dilaporkan baru-baru ini," katanya.

Chow berkata ekoran kekurangan bekalan vaksin jenis Pfizer pada minggu kedua, janji temu bagi suntikan dos kedua melibatkan PPV Kompleks Sukan Balik Pulau, PPV Dewan Balai Rakyat Bayan Baru, PPV Tapak Pesta Pulau Pinang dan PPV Dewan Millenium Kepala Batas telah ditunda ke tarikh 22 Ogos dan ke atas.

Bagaimanapun, katanya penundaan tersebut tidak menjejaskan operasi harian PPV berkenaan bagi suntikan dos pertama.

Chow berkata pemberian dos kedua Pfizer-BioNTech bagi 58 klinik swasta dan 10 hospital swasta yang beroperasi sebagai PPV juga telah dijadualkan semula ke minggu seterusnya iaitu pada 22 Ogos dan ke atas.

"Semua pihak berkaitan telah diberikan notis awal oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan tarikh janji temu baharu telah dimaklumkan kepada individu terlibat menerusi aplikasi MySejahtera," katanya.

-- BERNAMA